23 kes tipu jual topeng babit kerugian RM90,000 di Kajang

Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menasihatkan orang ramai membuat semakan sebelum membeli topeng di internet. (Gambar Bernama)

HULU LANGAT: Sebanyak 23 kes penipuan membabitkan penjualan topeng dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM90,000 dilaporkan di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kes penipuan akan meningkat jika orang ramai tidak peka.

“Semasa isu Covid-19 dari 9 Mac sehingga kini, kita dapati banyak pihak ambil kesempatan menipu pembelian dalam talian bagi kes topeng direkodkan di bawah IPD Kajang.

“Pihak kami nasihati orang ramai berhati-hati dengan penjualan topeng di internet dan membuat semakan terlebih dahulu,” katanya di pintu masuk sekatan jalan di Kampung Sungai Lui yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) hari ini.

Sementara itu, Dzaffir berkata, 7 sekatan jalan dilakukan di Sungai Lui sejak PKPD dikuatkuasakan di Batu 21 hingga 24 Sungai Lui mulai tengah malam Isnin lalu.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan sepanjang PKPD di Sungai Lui kerana semua penduduk mematuhi kawalan ketat yang memasuki hari ke-3 hari ini.

“Sehingga hari ini, tak ada sebarang aktiviti di dalam kawasan radius 5km PKPD ini dan masyarakat kampung di sini akur dan mengikut arahan dan sentiasa berada di dalam rumah.”

Beliau berkata, rondaan berkala dilakukan 24 jam sehari membabitkan 8 pegawai dan 53 anggota untuk mengawal pergerakan lebih 3,900 penduduk di sana.

Katanya, pihak berkuasa akan melakukan bancian untuk mengenal pasti penduduk yang mungkin dijangkiti Covid-19 di 3 kampung dalam 3 hari.

“Suspek dan penduduk yang didapati mempunyai simptom positif akan buat ujian saringan ke-2 di Klinik Desa Sungai Lui Batu 21.”

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan makanan sebanyak 2 kali sejak Isnin lalu.

Ahad lalu, kerajaan mengisytiharkan 7 kampung di Sungai Lui, termasuk 2 kampung Orang Asli dikenakan PKPD disebabkan 71 kes positif Covid-19 dalam kalangan 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23.