Ahli ekonomi persoal Sabah sedia dana infrastruktur RM200 juta

Firdausi Suffian berkata, kebanyakan rakyat menjangkakan bantuan langsung segera untuk meringankan beban mereka yang merupakan matlamat pakej rangsangan Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang ahli ekonomi politik di Sabah mempersoalkan langkah kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah besar dana untuk pembangunan infrastruktur di bawah pakej bantuan Covid-19.

Firdausi Suffian berpuas hati dengan sebahagian besar pakej rangsangan itu yang menurutnya meliputi pelbagai kumpulan dan perniagaan, tetapi mahu penjelasan mengenai peruntukan RM200 juta untuk pembangunan infrastruktur asas.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat menjangkakan bantuan langsung segera untuk meringankan beban mereka yang merupakan matlamat pakej rangsangan itu diperkenalkan.

“Untuk berlaku adil, kerajaan memberikan bantuan menerusi pemindahan tunai, diskaun untuk utiliti dan sewa, serta pengecualian bil air selama 3 bulan.

“Tetapi, timbul kebimbangan mengenai peruntukan infrastruktur RM200 juta dalam pakej rangsangan itu,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Shafie Apdal mengumumkan pakej bantuan Covid-19 “Sabah We Care” bernilai RM670 juta dengan RM200 juta untuk pelaksanaan 1,000 projek infrastruktur asas di kampung di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan daerah lain.

Antara bentuk bantuan lain ialah setiap isi rumah miskin dan miskin tegar akan mendapat bantuan sekali-bayar sebanyak RM500, golongan B40 sebanyak RM300 dan diskaun 30% cukai tanah bagi tahun ini.

Firdausi memahami projek infrastruktur bertujuan merangsang ekonomi kerana ia akan menggerakkan aktiviti perniagaan dan menyediakan pekerjaan menerusi pemberian kontrak.

“Tetapi, persoalan utama di sini adalah keutamaan pakej rangsangan untuk mengurangkan kesan penularan Covid-19.

“Lebih banyak perlu diperuntukkan untuk membantu kebajikan rakyat kerana kerajaan boleh menggunakan peruntukan daripada Belanjawan 2020 atau dana pembangunan persekutuan untuk projek infrastruktur.

“Kerajaan negeri perlu menyediakan lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat terjejas, lebih banyak subsidi untuk makanan import bagi mengurangkan harga dan memberi dana tambahan untuk peralatan perlindungan diri untuk kakitangan perubatan.”

Katanya, pakej rangsangan Sabah juga perlu menyediakan lebih banyak dana bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk digunakan secara langsung berbanding pinjaman saja.

“Lebih penting lagi, kerajaan perlu menyediakan bayaran bonus awal bagi penjawat awam negeri yang jumlahnya lebih ramai berbanding negeri lain di Malaysia, untuk memastikan lebih banyak perbelanjaan.”