Aplikasi bazar Ramadan tak susahkan peniaga, pembeli di Terengganu, kata exco

Terengganu mewujudkan satu aplikasi bazar Ramadan secara atas talian susulan arahan pembatalan penganjuran bazar di semua kawasan PBT bagi menangani penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Aplikasi bazar Ramadan secara atas talian yang bakal diperkenalkan kerajaan Terengganu tidak akan menyusahkan peniaga dan pembeli.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri akan membantu dan penerangan khusus akan diberikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) membabitkan semua 32 DUN.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

“Semua peniaga setiap bazar boleh berdaftar dengan aplikasi ini dan kita akan sediakan satu penyelesaian lengkap kepada mereka bermula dari membeli hingga kepada penghantaran ke rumah pembeli, selain sistem penghantaran, aplikasi ini juga menawarkan pembayaran e-wallet,” katanya kepada FMT.

Mengulas mengenai nasib peniaga yang tidak cekap teknologi IT, khusus mereka yang berumur 50 tahun ke atas, Nurkhuzaini berkata kumpulan itu akan dibantu YPU dan menggalakkan ahli keluarga mereka membantu dari segi penggunaan aplikasi.

“Jika peniaga tidak mahir IT, mereka boleh meminta anak-anak mereka atau saudara mara mereka untuk membantunya menggunakan aplikasi, pada permulaannya pihak YPU dan pusat khidmat DUN akan memberi taklimat mengenai penggunaan aplikasi ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, menerusi aplikasi itu tiada had jumlah peniaga ditetapkan.

“Aplikasi ini boleh menampung seberapa banyak peniaga, kalau mengikut data peniaga bazar Ramadan 2019, seramai 7,180 peniaga di seluruh negeri Terengganu, jadi jika semua peniaga lepas memohon aplikasi kita masih boleh menampungnya.

“Aplikasi ini juga boleh menampung seberapa banyak bazar Ramadan, kalau mengikut data jumlah lokasi bazar Ramadan 2019, sebanyak 76 lokasi bazar Ramadan yang berdaftar di seluruh negeri,” katanya.

Ketika diminta mengulas kadar bayaran dikenakan kepada peniaga untuk pendaftaran aplikasi tersebut, Nurkhuzaini memberi jaminan jumlahnya tidak akan membebankan rakyat.

“Jumlah caj masih dalam perbincangan dan akan diumumkan bila tiba masanya, kita akan pastikan ia satu kadar yang tidak membebankan peniaga dan pengguna,” katanya.

Terengganu mewujudkan satu aplikasi bazar Ramadan secara atas talian susulan arahan pembatalan penganjuran bazar di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani penularan Covid-19.

Aplikasi khas itu akan membantu peniaga bazar Ramadan dan ia akan dilaksanakan di semua 32 kawasan DUN di negeri itu.