Isu bazar Ramadan di WP belum diputuskan, kata Annuar Musa

Pihak berkuasa tempatan Wilayah Persekutuan akan memberikan taklimat mengenai penganjuran bazar Ramadan pada Jumaat ini.

PETALING JAYA: Penganjuran bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan belum diputuskan, kata Menteri Annuar Musa di sebalik kebimbangan orang ramai mengenai isu kesihatan di pasar yang lazimnya sesak.

Menyangkal laporan media semalam, Annuar berkata beliau memberikan masa beberapa hari lagi kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengemukakan cadangan mereka berhubung isu itu.

“Mereka akan beri taklimat kepada saya pada Jumaat ini,” katanya di Twitter.

“Keputusan tidak boleh dibuat sebelah pihak. Mesti rujuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.”

Annuar Musa

Semalam, media melaporkan Annuar berkata pengurusan bazar Ramadan perlu diubah suai tanpa membatalkannya, memandangkan ia merupakan keperluan terutamanya bagi mereka di bandar.

Beliau dipetik sebagai berkata kemungkinan bazar Ramadan tahun ini hanya mempunyai bilangan gerai yang kecil dan akan dijarakkan antara satu sama lain serta dibuka di banyak tempat.

Menurut laporan itu, pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak berkaitan sebelum pengumumman dilakukan tidak lama lagi.