Jangan anjur bazar Ramadan, nasihat akademi perubatan

Sebelum ini, Annuar Musa menafikan laporan bazar Ramadan akan diteruskan di KL dan Wilayah Persekutuan.

PETALING JAYA: Akademi Perubatan Malaysia berkata penganjuran bazar Ramadan akan menyebabkan gelombang ke-3 Covid-19 kerana ia membawa kepada permulaan pelonggaran penjarakkan sosial.

Dalam satu kenyataan, badan yang terdiri daripada 11 kolej perubatan itu berkata mereka tidak setuju dengan langkah meneruskan bazar Ramadan tahun ini walaupun terdapat tindakan diambil untuk mengelakkan kesesakan.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan lain akan diteruskan tetapi dengan pengurusan dan peraturan yang lebih baik berdasarkan nasihat Kementerkan Kesihatan.

Bagaimanapun, hari ini, Annuar menafikan laporan itu, mengatakan tiada keputusan telah dibuat.

Ramadan pertama dijangka jatuh pada 23 April.

Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac dijangka berakhir pada 14 April.

Akademi itu berkata penjarakkan sosial yang mencukupi akan menjadi “hampir mustahil” untuk dicapai memandangkan populariti dan kesesakan di bazar Ramadan.

“Hubungan rapat tidak dapat dielakkan berlaku di kawasan tempat letak kereta, jalan mati dan antara pelanggan dengan penjual.

“Pelonggaran sosial yang lebih awal berpotensi membawa kepada gelombang ke-3 jangkitan,” katanya.

Ia juga berkata kenaikan 3 kali ganda dalam kes baru jangkitan Covid-19 yang berterusan dalam masyarakat disebabkan rangkaian penghantaran jangkitan yang tidak diketahui.

“Gelombang ke-3 akan menjadi satu kemunduran kepada usaha sebelum ini sejak penguatkuasaan PKP pada 18 Mac 2020.”

Ia meminta alternatif kepada bazar Ramadan, termasuk menjual barangan atas talian dengan bantuan perkhidmatan penghantaran untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kesan ekonomi kepada peniaga kecil.

“Peperangan memerangi Covid-19 masih jauh dari pengakhiran dan kita perlu bertahan agar dapat menikmati lebih banyak Ramadan akan datang. Kalah dalam perang ini bukan pilihan.”