Jumlah korban Covid-19 AS lepasi 4,000 orang

Mayat yang dibungkus plastik sedang dimuatkan ke dalam lori kontena sejuk di Brooklyn semalam. (Gambar AP)

WASHINGTON: Jumlah kematian Amerika Syarikat berikutan pandemik koronavirus mencapai 4,000 pada Rabu, lebih sekali ganda berbanding 3 hari sebelumnya, menurut kajian Universiti Johns Hopkins.

Jumlah kematian adalah 4,076 – lebih sekali ganda 2,010 yang dicatatkan Sabtu lalu.

Lebih 40% kematian direkodkan di New York, menurut data Johns Hopkins.

Pada Selasa, jumlah kematian di AS mengatasi China, di mana pandemik itu muncul pada Disember sebelum tersebar ke seluruh dunia.

Jumlah kes yang disahkan di AS mencecah 189,510, paling banyak di dunia, walaupun Itali dan Sepanyol mencatatkan lebih banyak kematian.

Selepas mengecilkan ancaman koronavirus itu pada peringkat awal penularan di AS, Presiden Donald Trump memberi amaran negara itu berdepan “2 minggu yang amat sukar” pada Selasa.