Kastam tumpas sindiket seludup sisik tenggiling RM78 juta

Pegawai penguatkuasa kastam menunjukkan guni berisi sisik tenggiling yang dirampas.

PETALING JAYA: Jabatan Kastam menumpaskan satu sindiket penyeludupan sisik tenggiling dan merampas sisik bernilai RM78 juta dalam rampasan terbesarnya tahun ini.

Sisik seberat 6,160kg itu dirampas semalam daripada sebuah kontena 20 kaki di Pelabuhan Klang.

Ia itu disorokkan di dalam guni berisi kacang gajus, di mana menurut jabatan itu ia taktik yang digunakan penyeludup untuk mengaburi mata kastam.

“Pengimport dan ejen kastam yang terlibat dalam cubaan menyeludup sisik itu sedang disiasat,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, membabitkan jenayah penyeludupan import atau eksport barangan larangan.

Pengimportan sisik tenggiling dilarang di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Tenggiling yang dikenali dengan nama saintikfiknya Pholidota, turut diburu kerana sisiknya dipercayai mempunyai nilai perubatan yang mampu merawat pelbagai penyakit daripada jerawat hingga ke penyakit hati dan kanser.

Daging mamalia itu juga dianggap sebagai makanan istimewa.