Kematian di Eropah meningkat 30,000, PBB beri amaran krisis terburuk sejak Perang Dunia II

Seorang paderi menjalankan upacara pengebumian di Salvador Cemetery di Vitoria, utara Sepanyol pada Isnin. (Gambar AP)

PARIS: Pandemik Covid-19 mengorbankan lebih 30,000 nyawa di Eropah saja di mana ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan ia krisis kemanusiaan terburuk sejak Perang Dunia ke-2.

Itali dan Sepanyol yang paling terjejas berikutan krisis itu, menyumbang 3 bagi setiap 4 kematian di benua itu, angka mengerikan itu terus meningkat walaupun separuh daripada populasi dunia menjalani perintah berkurung dalam usaha memerangi penularan wabak terbabit.

Sementara itu, Presiden Donald Trump memberi amaran “2 minggu yang amat sukar” memandangkan AS mencatatkan 24 jam situasi paling dahsyat yang disifatkan Trump sebagai “mengganggu”.

Penularan wabak di negara itu berkembang dengan cepat. Ketika ini kira-kira 190,000 kes dikenalpasti- angka yang meningkat hanya dalam 5 hari.

Sebanyak 41,000 kematian direkodkan di seluruh dunia daripada lebih 830,000 jangkitan sejak pandemik itu muncul di China pada Disember.

Bagi Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pergolakan ekonomi dan politik yang luar biasa yang dirangsang virus itu mendatangkan bahaya kepada keamanan dunia sejak beberapa dekad lalu.

“Penyakit itu … adalah ancaman kepada semua orang di dunia dan … kesan ekonomi yang akan membawa kemelesetan yang mungkin tidak selari pada masa lalu.

“Gabungan 2 fakta dan risiko yang menyumbang kepada ketidakstabilan, kekacauan dan konflik yang semakin meningkat adalah perkara yang membuat kami percaya bahawa ini adalah krisis yang paling mencabar yang kami hadapi sejak Perang Dunia II,” katanya.

Keadaan ekonomi

Guterres percaya pandemik Covid-19 adalah krisis kemanusiaan yang paling mencabar sejak Perang Dunia II. (Gambar AP)

Apabila syarikat ditutup untuk tempoh yang tidak dapat ditentukan dan seluruh tenaga kerja terpaksa duduk di rumah untuk menghentikan penyebaran Covid-19, keadaan terdesak ekonomi dan pergolakan muncul di seluruh dunia.

Di Itali, barisan semakin panjang di pusat yang menyediakan bantuan makanan manakala beberapa pasar raya dilaporkan dirompak.

Jutaan penduduk kini memerlukan bantuan untuk mendapatkan makanan, kesatuan terbesar bagi sektor pertanian Itali, Coldiretti berkata berlaku pertambahan 2.7 juta orang yang memerlukan bantuan tahun lalu.

“Kebiasaannya kami melayani 152,525 orang. Tetapi sekarang kami mempunyai 70,000 lagi permintaan,” tegas Roberto Tuorto, yang menguruskan persatuan bank makanan.

Adalah penting untuk “memastikan krisis ekonomi yang disebabkan virus itu tidak menjadi krisis keselamatan,” beliau memberi amaran.

Kemelesetan ekonomi berikutan perintah berkurung sangat teruk terutama di negara membangun.

Di Tunisia, ratusan orang membantah perintah berkurung yang baru bermula seminggu yang menjejaskan golongan miskin.

“Usah hiraukan coronavirus, kita akan mati juga! Marilah kita bekerja!” jerit seorang penunjuk perasaan dalam demonstrasi di pinggir ibu kota Tunis.