Kerajaan benarkan muflis keluar wang KWSP harungi Covid-19

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini membenarkan orang muflis mengeluarkan caruman KWSP untuk membantu mereka mengharungi kesan perintah kawalan pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 Apr, selari dengan inisiatif meringankan beban kewangan rakyat yang diumumkan perdana menteri pada 23 Mac.

Terhad kepada muflis bawah usia 55 tahun, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mengumumkan ia membenarkan golongan itu mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 2 masing-masing, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

“Permohonan pengeluaran wang caruman tersebut hendaklah dibuat secara terus kepada KWSP,” katanya dalam kenyataan.

Di samping itu, MdI mengumumkan penangguhan bayaran ansuran bulanan bagi tempoh 6 bulan bermula 1 Apr sehingga 30 Sep, mengambil kira kesulitan yang dihadapi golongan muflis.

Orang muflis yang tidak berhasrat untuk mengambil inisiatif itu, diminta memohon meneruskan pembayaran di cawangannya yang mentadbir kes kemuflisan mereka.

MdI juga mengumumkan kemudahan bagi pihak yang telah menandatangani perjanjian jual beli dengan ketua pengarah insolvensi atau pegawai penerima dan penyelesai bagi pembelian aset individu muflis yang ditadbir pegawai berkenaan bagi pembelian aset syarikat yang digulungkan.

“Mereka bolehlah memohon untuk penangguhan sehingga 6 bulan untuk dipertimbangkan oleh ketua pengarah insolvensi atau pegawai penerima dan penyelesai,” katanya.