Kerajaan buka rumah peranginan, transit kepada petugas barisan depan

Petugas barisan depan berusaha membendung penularan Covid-19 yang mencatatkan 2,766 kes positif dan 43 kematian di Malaysia setakat ini.

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menyediakan kemudahan penginapan kepada petugas barisan depan yang berusaha memerangi Covid-19.

Katanya, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) akan menyediakan rumah peranginan persekutuan (RPP) dan rumah transit (RT) di seluruh negara kepada petugas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di Putrajaya, 4 unit pangsapuri RT disediakan kepada petugas barisan depan sejak 27 Mac lalu, manakala 9 bilik deluxe di RPP Cameron Highlands dikhaskan untuk petugas KKM.

Di Pulau Pinang, 3 bilik deluxe disediakan kepada petugas KKM mulai esok.

JPM berkata, ruang kafeteria dan premis di bangunan guna sama (BGS) turut disediakan bagi kegunaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai tempat pengumpulan makanan untuk diagihkan kepada orang ramai.

BGS itu terletak di Bangunan Persekutuan Temerloh dan Bangunan Persekutuan Maran di Pahang, Bangunan Persekutuan Kuala Krai di Kelantan, Wisma Persekutuan Perai Utara di Pulau Pinang dan Wisma Persekutuan Klang, Selangor.

Malaysia melaporkan 2,766 kes positif dengan 43 kematian Covid-19 setakat ini.