Mahkamah setuju prosiding reman buat di balai polis sepanjang PKP

Individu yang ditangkap sepanjang tempoh PKP akan direman di balai polis di mana mereka ditahan.

PUTRAJAYA: Semua prosedur reman yang biasanya dilakukan di mahkamah akan dipindahkan ke balai polis di mana suspek ditahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terriruddin Mohd Salleh, dalam satu surat kepada Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor, berkata Ketua Hakim Negera Tengku Maimun Tuan Mat tiada sebarang bantahan terhadap tindakan itu.

Bagaimanapun, kelulusan itu mempunyai beberapa syarat.

“Pegawai mahkamah harus diberi notis awal dan keselamatan mereka termasuk peguam harus terjamin,” kata Terriruddin dalam surat yang dilihat FMT.

Beliau berkata hak tertuduh untuk diwakili ketika prosiding reman tidak harus dinafikan.

“Polis juga mesti mematuhi garis panduan Covid-19 Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan dari masa ke semasa,” katanya.