Noor Hisham ucap terima kasih Zuraida bantu operasi nyahjangkitan Covid-19

Zuraida Kamaruddin (kanan) ketika melakukan proses nyahjangkitan di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana membantu melakukan operasi nyahjangkitan di kawasan berisiko susulan penularan wabak Covid-19.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan kerjasama semua pihak dalam usaha mendepani wabak maut itu.

“Kita akan kerjasama dengan KPKT untuk menjalankan aktiviti nyahjangkitan, KKM merakamkan ucapan terima kasih kepada KPKT kerana membantu KKM dalam proses nyahjangkitan.

“Aktiviti ini memerlukan kepakaran dan kita akan kerjasama bukan sahaja dengan KPKT tapi dengan agensi-agensi yang lain dan masa ini kita kena guna idea yang inovasi,” katanya semasa sidang media di KKM.

KPKT sebelum ini dikritik susulan cara pembersihan dilakukan itu dikatakan membazir dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) penyemburan nyahjangkitan.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin bagaimanapun mempertahankan prosedur nyahjangkitan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia susulan dakwaan berlaku pembaziran apabila cecair nyahjangkitan disemburkan di permukaan jalan raya ketika prosedur operasi dilakukan PBT.

Zuraida berkata, semburan ke permukaan jalan raya adalah langkah keselamatan menyeluruh yang diambil kerana sehingga kini masih belum ada rumusan tepat berhubung kaedah penularan Covid-19.

Bazar Ramadan

Mengulas risiko berlakunya penularan Covid-19 ketika Ramadan menerusi pembukaan bazar, Noor Hisham berkata perkara itu akan diteliti dan perlu mematuhi garis panduan KKM.

Katanya, cadangan dari pelbagai pihak penting bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dalam bentuk kumpulan.

“Isu bazar Ramadan ada idea-idea diberikan, tapi kita kena patuh kepada panduan KKM, tapi bagaimana kita boleh lakukan dengan idea baru, contohnya melakukan e-bazar, bazar atas talian, pandu lalu untuk mengelakkan perhimpunan ramai dan amalkan jarak 1 meter.

“Kita terbuka kepada idea yang dikemukakan dan KKM akan melihat garis panduan sebelum kita terima pakai idea baru itu,” katanya.

Sebelum ini beberapa negeri mengumumkan dan memberi bayangan tiada bazar Ramadan tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.