Penghuni Menara City One bimbang akibat perintah kawalan ketat

Seorang penghuni Menara City One memegang kertas meminta nasi selepas kondominium itu dikenakan PKPD.

KUALA LUMPUR: Sesetengah penghuni Menara City One di Kuala Lumpur bimbang dengan bekalan makanan dan kehilangan punca pendapatan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas kondominium itu.

Warga Indonesia, Lia Rezza Verdiansyah, 45, yang berasal dari Bandung bimbang kerakyatannya akan menyebabkan beliau tidak layak mendapat bekalan makanan yang dijanjikan kerajaan.

Katanya, beliau mendapat tahu mengenai satu kes positif Covid-19 di kondominium itu 2 minggu lalu.

“Kami terima maklumat melalui kumpulan WhatsApp komuniti kami. Pada masa itu, kami masih dibenarkan keluar membeli makanan.”

Katanya, pesakit dijangkiti virus itu yang memberi makluman di WhatsApp.

“Beliau beritahu kami, beliau sudah sembuh dan tak perlu bimbang.”

Bagaimanapun, keadaan berubah pada Isnin apabila kerajaan mengumumkan PKPD sehingga 13 April ini kerana terdapat 17 kes yang berasal dari kondominium itu.

Bekalan makanan yang diagihkan pihak berkuasa kepada setiap unit.

Ini menjejaskan 3,200 penghuni di 502 unit dan juga premis perniagaan di dalam bangunan itu. Ia adalah kawasan ke-3 yang diletakkan di bawah PKPD selepas Simpang Renggam di Johor dan Sungai Lui di Kuala Langat, Selangor.

Di bawah PKPD, penghuni tidak dibenarkan keluar dari bangunan itu, manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk.

Semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup dan semua aktiviti perniagaan di menara terbabit dihentikan kecuali premis barangan keperluan.

Bagaimanapun, penghuni dibenarkan membuat pesanan makanan yang boleh dihantar ke lobi keselamatan di pintu utama.

“Kami mula panik. Ke mana kami nak pergi? Kami tidak boleh tinggalkan tempat ini, tetapi saya tak rasa selamat tinggal di sini,” kata Lia.

Katanya, semua kedai berhampiran ditutup dan beliau bimbang dengan bekalan makanan untuk diri dan anaknya yang berusia 15 tahun.

Susiyati Soemarto, 50, ibu tunggal dari Surabaya yang tinggal dengan 6 wanita lain, berkata semua kes positif Covid-19 di kondominium itu datang daripada 2 unit yang dihuni keluarga Pakistan sama.

Anggota tentera mengawal di luar Menara City One di Jalan Munshi Abdullah.

Katanya, beliau diberitahu 12 daripada mereka menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang dikatakan menjadi pusat penularan virus itu di negara ini.

Kebimbangan utama Susiyati ialah beliau tidak boleh meninggalkan negara ini untuk bersama 2 anaknya di Surabaya.

“Saya berdoa untuk yang terbaik. Tetapi, saya khuatir bagaimana saya mahu menyara anak-anak saya di kampung. Sekarang, dengan perintah kawalan ketat, saya tiada rezeki.”

Pihak berkuasa menjanjikan makanan serta bekalan barang akan diberikan kepada setiap penghuni, dan Susiyati lega janji itu dikotakan.

Katanya, penghuni di setiap unit diberikan sekotak makanan kering dan segar yang terdiri daripada beras, minyak, gula, telur dan susu tin yang diagihkan di tempat letak kereta kondominium itu.

“Tiada orang beratur. Pihak berkuasa panggil seorang penghuni dari setiap rumah untuk pergi ambil bekalan. Saya pergi dengan 3 wanita lain, jadi mereka berikan kami satu kotak tambahan.”