Perbicaraan rasuah Ku Nan, Isa Samad ditunda lagi akibat Covid-19

Bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan bekas pengerusi Felda, Isa Samad.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah RM2 juta bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, yang sepatutnya bersambung hari ini ditunda sekali lagi akibat penularan Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi memberitahunya semalam perkara itu ditetapkan untuk sebutan di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 17 April ini.

“Pihak-pihak akan berjumpa pada 17 April ini untuk menetapkan tarikh baru perbicaraan.”

Perbicaraan Tengku Adnan di peringkat pembelaan diri dengan tertuduh sudah selesai memberi keterangannya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong, yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, walaupun tahu syarikat Chai mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah pimpinannya ketika itu.

Tengku Adnan turut berdepan pertuduhan lain berjumlah RM1 juta, tetapi perbicaraan itu sudah ditangguhkan.

Beliau didakwa menerima rasuah itu daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menambah nisbah lot industri sebidang tanah di Kuala Lumpur.

Julia berkata, pihak pendakwaan sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali perlu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Sementara itu, perbicaraan rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad di Mahkamah Tinggi yang ditetapkan pada 8 April ini ditunda ke 21 April nanti.

“Tarikh baru itu ditetapkan mahkamah,” kata peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa.

Dalam kes Isa, pihak terbabit dijadualkan membuat penghujahan lisan hari ini di depan Nazlan selepas pihak pendakwaan yang memanggil 15 saksi, menutup kesnya pada 14 Jan lalu.

Isa, 71, berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan 9 dakwaan menerima rasuah lebih RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd.