24 pelajar kolej ditahan main bola sepak ketika PKP

Polis berkata, 24 pelajar yang ditahan pada Selasa itu tinggal di asrama kolej di Tanjung Bungah, George Town.

GEORGE TOWN: Seramai 24 penuntut sebuah kolej di sini ditahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak di padang kolej itu di Jalan Cengai, Tanjung Bungah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, semua penuntut terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian pada 7.14 malam selepas menerima aduan orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, pintu pagar berkunci dan ia dibuka 15 minit kemudian. Pemeriksaan polis mendapati kesemua mereka yang sedang bermain bola di padang itu adalah warganegara tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej tersebut,” katanya semalam.

Beliau berkata, semua penuntut berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan kerana melanggar PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh menyebarkan jangkitan penyakit berbahaya.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.