359 rakyat Malaysia terkandas di India dibawa pulang hari ini

Rakyat Malaysia yang terperangkap di India berlepas dari Lapangan Terbang Trichy hari ini. (Gambar Twitter)

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar berkata seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India selamat tiba hari ini menerusi 2 buah pesawat sewa khas Malindo Air.

Beliau berkata mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), masing-masing pada jam 5.50 pagi dan 4.46 petang.

“Penerbangan seterusnya dari India dijadualkan tiba ke tanah air pada 3 hingga 6 April ini bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia yang masih terkandas di India, termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy,” katanya berhubung perkembangan rakyat Malaysia terkandas di luar negara

Sementara itu, Kamarudin juga berkata, 59 rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia dijangka tiba di KLIA pada jam 8.30 malam hari ini.

Beliau berkata, 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di Australia.

Dalam masa sama beliau berkata, pada masa ini kerajaan Algeria menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara tersebut.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Algeria sedang dalam proses menguruskan satu penerbangan sewaan khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

“Berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Chad berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, Lapangan Terbang N’djamena Chad dijangka dibuka semula esok.

“Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk terus berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja melalui talian: +2347031365197.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, sebuah syarikat di Jepun, Jagam (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co. Ltd telah menyumbang sejumlah topeng, khusus untuk perwakilan kita yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

“Bagi pihak Wisma Putra, saya amat berterima kasih atas sumbangan ini dan sekali lagi mengalu-alukan mana-mana pihak untuk turut menyumbang peralatan perubatan melalui inisiatif ini,” katanya.