Ada penduduk luar bandar tak boleh buat pengeluaran KWSP dalam talian

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja digesa menjalin bekerjasama rapat dengan ketua kampung atau pemimpin masyarakat untuk memastikan penduduk luar bandar dapat mengakses kemudahannya.

KOTA KINABALU: Pusat Hak Asasi Manusia Sabah mengkritik kerajaan kerana dilihat tidak menghiraukan kesulitan yang dihadapi penduduk luar bandar untuk membuat pengeluaran dalam talian daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Jurucakap kumpulan itu, Mahirah Marzuki menegaskan banyak penduduk di pedalaman, terutama di Sabah, tiada akses internet.

Beliau mengulas kenyataan KWSP meminta pencarum membuat permohonan pengeluaran RM500 menerusi aplikasi i-Akaun atau e-mel.

KWSP semalam menyatakan semua cawangan dan pusat pengurusan perhubungannya ditutup sehingga 14 Apr selaras perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mahirah Marzuki

Walaupun ada dalam kalangan penduduk luar bandar boleh menggunakan internet, Mahirah berkata ramai tidak tahu cara menggunakan peranti untuk membuat pengeluaran atau menggunakan pengeluaran untuk membuat pembelian dalam talian ketika PKP berkuatkuasa.

Beliau mendakwa langkah yang disarankan itu terlalu kebandaran (urban-centric), dan berkata kerajaan sepatutnya lebih sedar kesukaran yang dihadapi penduduk luar bandar, terutama di kawasan terpencil Sabah.

Kenderaan pacuan 4 roda merentasi hutan untuk ke sebuah pekan di Sabah.

Beliau mencadangkan KWSP bekerjasama rapat dengan ketua kampung atau pemimpin masyarakat bagi memastikan penduduk luar bandar dapat memanfaatkan kemudahan itu.

Patrick Sindu

“Pasukan bergerak KWSP boleh memenuhi keperluan golongan ini supaya wang tunai boleh diberikan kepada mereka,” katanya.

Aktivis hak asasi manusia dan pengguna Patrick Sindu bersetuju dengan Mahirah dan mencadangkan KWSP meminta bantuan jabatan kebajikan negeri.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa komunikasi mempertimbangkan untuk memberi akses internet kepada setiap kawasan di Sabah.