Ah Long kata ‘tidak’ pada ahli perniagaan terdesak semasa PKP

Lintah darat henti mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial kerana orang ramai mungkin tidak boleh bayar pinjaman.

PETALING JAYA: Perniagaan yang amat memerlukan dana mencari lintah darat atau Ah Long sebagai langkah terakhir untuk mendapatkan suntikan wang bagi menyelamatkan operasi, kata Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong.

Namun Ah Long menolak banyak permintaan itu, tambahnya.

“Saya diberitahu perniagaan menghubungi Ah Long untuk meminjam wang kerana mahu membayar hutang perniagaan tetapi Ah Long sekarang memilih.

“Mereka hanya mahu berurusan dengan orang yang mereka kenal dan percaya,” kata Chong kepada FMT, menggesa orang ramai jangan meminjam dari peminjam wang haram walau apa pun keadaannya.

Beliau berkata buat pertama kali, lintah darat menghentikan pengiklanan perkhidmatan mereka di media sosial dan platform lain kerana sedar akan permintaan tinggi daripada orang yang mungkin tidak boleh membayar pinjaman.

“Mereka bijak,” kata Chong.

Beliau berkata beberapa perniagaan juga menghubungi peminjam wang berlesen untuk meminjam duit tetapi permohonan mereka ditolak.

“Mereka mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga perintah kawalan pergerakan tamat. Mereka juga tak tahu bagaimana keadaan nanti apabila perniagaan dibuka.

“Sekiranya perniagaan tak terjejas teruk, mereka akan beri wang pada orang yang boleh bayar pinjaman,” katanya.

Beberapa ahli perniagaan yang menghubungi Chong berkata mereka perlukan wang segera dan sebelum ini mereka boleh bergantung pada Ah Long.

“Mereka kata sebelum ini, jika mereka hubungi lintah darat hari ini, wang itu akan dimasukkan ke akaun bank keesokan hari. Tetapi sekarang tak lagi,” katanya.

Chong berharap institusi perbankan tidak terlalu “berwaspada” memberikan pinjaman kerana perniagaan perlu bertahan.

Beliau berkata terdapat kebimbangan banyak perniagaan akan tutup kerana PKP, yang dilaksanakan dari 18 Mac hingga 14 Apr bagi menghentikan pandemik Covid-19.

FMT menghubungi seorang lintah darat yang berkata mereka hanya meminjamkan wang kepada orang yang mereka kenal.

“Kita tidak boleh lagi pinjamkan wang kepada mana-mana orang sekarang. Kita akan tunggu sehingga kawalan tamat, dan tengok potensi kapasiti perolehan klien kami sebelum memberikan pinjaman,” katanya yang tidak mahu dinamakan.