Brazil lapor kes pertama Covid-19 babit pribumi

Suku pribumi di Brazil mudah terdedah kepada penyakit yang diimport. (Gambar AFP)

SAO PAULO: Seorang wanita dari kumpulan etnik Kokama di hutan hujan Amazon adalah pribumi pertama di Brazil yang dilaporkan positif koronavirus, kata pihak berkuasa pada Rabu

Pandemik koranavirus itu menimbulkan kebimbangan mengenai kesan yang mungkin berlaku pada pribumi di Amazon, yang mudah terdedah kepada penyakit yang diimport.

Wanita berusia 20 tahun itu bekerja dalam sektor kesihatan awam di kawasan perbandaran Santo Antonio do Ica, berhampiran sempadan Colombia-Brazil. Dia bekerja dengan seorang doktor yang selepas pulang bercuti diuji positif virus itu minggu lalu, kata pihak berkuasa.

Wanita itu setakat ini tidak mempunyai gejala. Dia dan keluarganya menjalani pengasingan dan bawah pemerhatian, kata sekretariat khas Kementerian Kesihatan Brazil untuk kesihatan pribumi.

“Kesihatan pribumi jadi kebimbangan utama'” ketika pandemik koronaviorus, kata Menteri Kesihatan Luiz Henrique Mandetta.

“Kita perlu lebih berhati-hati dengan masyarakat ini, terutama yang paling terpencil.”

Mengikut sejarah, suku pribumi di benua Amerika terasing daripada banyak penyakit yang mana kebanyakan masyarakat dunia sudah imun.

Dianggarkan penyakit yang dibawa oleh penjajah Eropah melenyapkan lebih daripada 95% populasi pribumi di Amerika.

Kumpulan berkenaan masih terancam.

Mandetta berkata sehingga kini, apabila pemimpin pribumi pulang dari luar negara, mereka akan mengkuarantin diri selama 2 minggu bagi mengelak membawa masuk penyakit luar ke dalam komuniti mereka.

Dua belas pesakit pribumi dan 14 orang lain yang bekerja dengan doktor yang dijangkiti itu sedang menunggu keputusan ujian koronavirus.