Bukit Aman mahu perketat kawalan, PJ terus tangkap selepas 10 malam

PETALING JAYA: Polis akan terus memperketatkan penguatkuasaan agar kadar pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) meningkat kepada 100%.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani berkata masih terdapat segelintir orang awam yang tidak mematuhi arahan PKP.

Antara alasan diberikan mereka tidak munasabah seperti tidak tahu mengenai arahan PKP yang sudah masuk hari ke-16 pelaksanaannya hari ini.

“Sebagai contoh, alasan keluar rumah untuk membeli roti, air dan rokok pada pukul 11 malam tidak munasabah kerana orang awam sudah diberitahu semua kedai ditutup pada 8 malam serta tidak dibenarkan keluar rumah selepas 10 malam.

“Orang awam perlu peka dan mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol PJS2 semalam.

Acryl berkata polis mahu arahan PKP dipatuhi orang awam di seluruh negara agar wabak dapat dibendung.

“Ketika ini, kita semua sedang melawan sesuatu yang tidak nampak, sekiranya kita leka maka ia akan menggagalkan misi untuk memastikan kadar kes sifar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi di daerah itu yang dianggap “meriah” apabila masih ramai orang awam ingkar arahan PKP.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, lokasi berkenaan di Taman Medan, Taman Dato Harun, Ara Damansara dan Damansara Damai.

“Polis akan memberi nasihat dan amaran terlebih dahulu kepada orang awam supaya tidak keluar rumah sebelum 10 malam.

“Sekiranya masih ada orang awam yang ingkar arahan PKP (selepas 10 malam), kami akan terus membuat tangkapan,” katanya.