Kerajaan umum nama, fungsi baru Kementerian Alam Sekitar

Penjenamaan semula Kementerian Alam Sekitar bakal menyaksikan sinergi 2 aspek pengurusan air, iaitu sumber dan perkhidmatan air. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jemaah menteri dalam mesyuarat hari ini bersetuju menjenamakan semula Kementerian Alam Sekitar sebagai Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA).

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjenamaan itu selaras keputusan kerajaan memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada kementerian tersebut yang turut bertanggungjawab dalam pelestarian alam sekitar.

Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata, kewujudan MEWA membolehkan sinergi antara 2 aspek pengurusan air yang selama ini terpisah, iaitu sumber air dan perkhidmatan air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab terhadap sumber air, sementara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan membabitkan bekalan air dan pembetungan.

“Kini kedua-dua fungsi ini disepadukan di bawah MEWA bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air negara bagi memastikan sumber dan bekalan air mencukupi dan berkekalan,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata, kementerian itu akan mengintegrasikan sektor alam sekitar dan air, selain memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran awam serta pembudayaan kepentingan alam sekitar dan air.

Katanya, kewujudan MEWA akan membantu memantapkan ekosistem tadbir urus air negara bagi memastikan sumber dan bekalan air mencukupi dan berkekalan.