Kesian… Gelandangan terpaksa tidur di parkir ekoran rumah perlindungan tempatkan pesakit Covid-19

Gelandangan dilihat sedang menyediakan tempat tidur di dalam kotak yang dicat di tempat letak kereta berhampiran rumah perlindungan yang kini menempatkan pesakit Covid-19 di Las Vegas. (Gambar AP)

Tidak semua perkara dapat dipenuhi di saat satu dunia sedang bergelut melawan wabak Covid-19.

Begitulah juga kisah gelandangan di Las Vegas yang terpaksa tidur di ruang tempat letak kenderaan.

Meskipun pelbagai pihak kritik selepas gambar gelandangan ini tular kerana dibiarkan tidur di tepi jalan namun pihak berkuasa tiada pilihan kerana semua rumah perlindungan dijadikan tempat untuk pesakit virus itu.

Hujung minggu baru-baru ini, pihak berkuasa Las Vegas memerlukan tambahan ruang tempat tidur untuk gelandangan apabila 500 katil di rumah perlindungan itu digunakan untuk pesakit positif Covid-19.

Pihak berkuasa Las Vegas buka sebahagian tempat letak kereta bandar sebagai tempat perlindungan sementara untuk gelandangan. (Gambar AP)

Susulan itu, pentadbiran bandar itu mengubahsuai tempat letak kenderaan sebagai tempat tidur sementara gelandangan dengan setiap seorang dijarakkan semeter antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tindakan sesetengah gelandangan yang tidur pada kedudukan rapat menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan masyarakat yang meluahkannya di media sosial.

Jurucakap pihak berkuasa bandar Las Vegas, Jace Radke berkata, lokasi terkini itu bertempat di luar Pusat Cashman yang menjadi venue sukan di bandar itu.

“Ruang di dalam pusat itu juga tidak dapat digunakan kerana ia digunakan untuk keperluan pihak hospital,” katanya sambil menambah alas biru digunakan di kawasan seluas 24,000 kaki persegi.

Sementara itu di selatan Nevada, isu gelandangan terus menjadi krisis di mana sekurang-kurangnya 6,500 orang memenuhi jalan raya.

Kata Radke, Pusat Kebajikan Katholik yang menjadi lokasi penempatan gelandangan itu dijangka dibuka semula dalam masa seminggu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]