Korban Covid-19 5 orang, jangkitan lepasi 3,000 kes

PUTRAJAYA: Seramai 5 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan 50 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 208 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 142 semalam, menjadikan jumlah mangsa 3,116 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, seramai 122 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 767 orang sehingga kini.

Sekarang ini, seramai 105 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Lima korban terbaru hari ini membabitkan mangsa berusia antara 37 sehingga 85 tahun yang dirawat di Johor, Negeri Sembilan, dan Sarawak.

  • Kes kematian ke-46 merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti. Dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 28 Mac, disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 11.10 malam.
  • Kes kematian ke-47 merupakan lelaki tempatan berusia 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout. Dirawat di Hospital Sultanah Fatimah, Muar pada 17 Mac, disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 7.10 malam.
  • Kes kematian ke-48 merupakan lelaki tempatan berusia 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 29 Mac, disahkan meninggal dunia pada 2 Apr 8.01 pagi.
  • Kes kematian ke-49 merupakan lelaki tempatan berusia 61 tahun. Sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (Kes jangkitan ke-2107). Dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 20 Mac, disahkan meninggal dunia pada 1 Apr 8.36 malam.
  • Kes kematian ke-50 merupakan lelaki tempatan berusia 69 tahun. Dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada 22 Mac, disahkan meninggal dunia pada 2 Apr 2.20 petang.