Peguam bercanggah pendapat tangani individu ingkar PKP

Polis bersedia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan dengan lebih ketat memandangkan ia kini memasuki minggu ketiga.

PETALING JAYA: Peguam bercanggah pendapat sama ada polis harus menangkap individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana beratus-ratus orang telah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi berkata, tindakan polis diperlukan sebagai penghalang kepada orang ramai bagi memastikan kejayaan PKP yang berkuatkuasa bulan lalu di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Akta Penyakit Berjangkit.

Di bawah akta itu, pesalah boleh dipenjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya. Pesalah yang mengulangi kesalahan sama boleh didenda, penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

“Tindakan polis akan mewujudkan rasa takut dalam kalangan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan mengamalkan penjarakkan sosial,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun terdapat juga gesaan supaya pesalah dikenakan kompaun, bukannya ditangkap dan didakwa.

Namun Benjamin berkata orang ramai berkemungkinan akan mengikari PKP jika diberi peluang untuk dikompaun.

“Malah mereka yang dikenakan saman lalu lintas kerana melanggar had laju juga tidak membayarnya,” katanya.

Peguam Chan Yen Hui, bagaimanapun berkata, tiada sebab untuk polis menahan suspek melebihi 24 jam.

“Polis boleh menyelesaikan siasatan kerana mereka tidak memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul bukti. Permohonan reman untuk melanjutkan tempoh tahanan di depan majistret tidak perlu,” tambahnya.

Beliau berkata, ikat jamin polis boleh ditawarkan kepada suspek, yang kemudiannya akan diminta hadir ke mahkamah apabila pihak pendakwaan bersedia untuk mendakwa mereka.

“Menempatkan sejumlah besar suspek di dalam lokap, walaupun dibenarkan undang-undang akan melanggar tujuan pelaksanaan PKP, terutamanya penjarakkan sosial,” katanya.

Sementara itu Benjamin berkata, setiap individu mesti menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam perang menentang pandemik Covid-19.

“Ini adalah masa untuk semua orang berkerjasama demi kebaikan bersama, bukannya memperlihatan pemikiran kapitalis untuk kepentingan diri sendiri.

“Sebagai individu, ia amat penting untuk kita mempunyai disiplin, mengamalkan kebersihan yang baik dan mengawal interaksi sosial memandangkan semakin banyak jangkitan dan kematian yang berlaku,” katanya.

Benjamin mengalu-alukan sekatan selanjutnya di bawah fasa ke-2 PKP, termasuk mengehadkan perjalanan untuk membeli makanan dan keperluan harian dalam jarak 10km dan keperluan melakukan pemanduan seorang diri.