Perlu dapat kelulusan polis buat perjalanan antara daerah di Sarawak

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Douglas Uggah Embas berkata terdapat 211 kes positif Covid-19 di negeri itu. (Gambar Bernama)

KUCHING: Mereka yang mendapat permit daripada pejabat daerah untuk melakukan perjalanan di antara daerah di Sarawak juga mesti mendapat kelulusan daripada polis berkuatkuasa esok.

Pada Ahad, dilaporkan Sarawak mengenakan larangan ke atas perjalanan antara daerah, dan mereka yang mempunyai alasan yang sah mesti mendapatkan permit daripada pejabat daerah.

“Bagaimanapun mulai esok, permit yang diberikan pejabat daerah kepada individu untuk melakukan perjalanan antara daerah juga harus diluluskan oleh polis,” kata pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas.

Pada sidang media di sini hari ini, Uggah juga berkata Sarawak mencatatkan 1 lagi kematian, melibatkan seorang lelaki dari Kuching, menjadikan jumlah keseluruhan kematian Covid-19 di negeri itu 9 orang.

Dalam pada itu, terdapat 23 kes baru dicatatkan, menjadikan bilangan keseluruhan positif Covid-19 di Sarawak kepada 211.

21 daripada kes itu dirawat di Hospital Besar Sarawak dan 2 di Hospital Sibu.

Unggah berkata, sehingga kini 95.3% rakyat Sarawak mematuhi sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semalam, polis menahan 37 orang di negeri itu yang melanggar PKP dan 41 didakwa di mahkamah setakat ini.

Beliau berkata di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, seseorang dibenarkan untuk melakukan perjalanan tidak melebihi 10km tanpa berteman, kecuali perlu, untuk membeli makanan, keperluan harian atau ubat-ubatan.

“Mereka yang perlu menjalani pemeriksaan atau rawatan perubatan dibenarkan pergi dengan ditemani tidak lebih dari 10km dari kediamannya.

“Bagaimanapun, peraturan ini boleh dilonggarkan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, tetapi mereka mesti mendapatkan kelulusan daripada balai polis yang terdekat,” katanya.