Putrajaya digesa contohi Singapura, UK beri subsidi gaji pekerja

Persatuan Peruncit Malaysia berkata, syarikat memerlukan 6 bulan atau lebih untuk pulih daripada kesan perintah kawalan pergerakan.

PETALING JAYA: Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menggesa Putrajaya mencontohi negara seperti Singapura dan United Kingdom yang memberi subsidi gaji kepada semua pekerja bagi membantu sektor perniagaan semasa krisis Covid-19.

MRA meminta kerajaan memperluaskan skop program subsidi gaji bernilai RM5.9 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua bagi membantu aliran tunai sektor runcit.

“MRA memohon supaya subsidi tersebut dibuka kepada semua pekerja dengan gaji kurang RM4,000 sebulan yang berdaftar dan mencarum kepada Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bermula 1 Mac, bukannya 1 April.

“Sekali lagi, kami merayu supaya kerajaan menunjukkan bahawa ia berada di belakang kami, syarikat perniagaan,” kata presiden dan ahli majlis persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, terdapat terlalu banyak terma dan syarat dalam program subsiti tersebut, misalnya mengehadkan subsidi kepada 100 pekerja bagi satu-satu syarikat.

Ia seterusnya berkata, ini menghalang program itu daripada memberi manfaat kepada jumlah pekerja yang disasarkan oleh kerajaan seramai 3.3 juta orang.

MRA berkata, syarikat memerlukan 6 bulan atau lebih untuk pulih daripada kesan perintah kawalan pergerakan yang dijadualkan berakhir 14 April depan, sekali gus memberi amaran bahawa sebilangan syarikat akan gulung tikar menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan.

Ia menyeru kerajaan supaya bersikap bermurah hati dalam langkah sokongannya dengan berkata, syarikat peruncitan juga mahu menyelamatkan pekerjaan.