Sedihnya… Bayi 6 bulan mangsa termuda maut di AS disebabkan Covid-19

Ujian saringan Covid-19 dilakukan mendapati bayi 6 bulan itu disahkan positif wabak Covid-19 dan maut selepas seminggu terima rawatan.

Gabenor Connecticut, Ned Lamont, mengesahkan seorang bayi berusia 6 bulan meninggal dunia, disebabkan komplikasi Covid-19.

Bayi itu menjadi mangsa termuda yang terkorban ekoran wabak itu di Amerika Syarikat (AS).

Berita itu dikongsi di laman Twitternya dengan menulis “bayi itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak memberikan sebarang tindak balas minggu lalu dan tidak dapat dipulihkan”.

Menurut Lamont, ujian saringan Covid-19 dilakukan dan bayi itu disahkan positif wabak berkenaan.

“Ini tentunya berita yang amat menyedihkan. Kami percaya ini kes termuda bagi korban Covid-19,” katanya.

Minggu lalu, pihak berkuasa Illinois berkata, mereka akan menjalankan siasatan bagi kematian kanak-kanak berusia kurang setahun, termasuk kematian pertama di Amerika Syarikat membabitkan seorang bayi berumur 9 bulan.

Penyebaran pantas Covid-19 di AS yang menyebabkan sekurang-kurangnya 4,476 kematian itu dipercayai akan menjadi lebih berisiko kepada warga tua, walaupun ada peningkatan kes pesakit muda yang dimasukkan di hospital akibat wabak berkenaan.

Negeri New York yang juga bersempadan dengan negeri Connecticut antara yang paling teruk terjejas akibat penularan Covid-19 dengan lebih 2,000 angka kematian dicatatkan setakat ini.

Turut dilaporkan, penduduk di New York, Connecticut dan New Jersey antara jutaan rakyat AS yang sedang melalui perintah duduk di rumah, kecuali bagi pekerjaan yang penting.

Ketiga-tiga negeri ini merekodkan lebih 100,000 kes Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]