Selangor boleh jadi ujian mudah uji keberkesanan pemeriksaan besar-besaran, kata ahli ekonomi

Selangor menyediakan peruntukan RM1.3 juta memeriksa 5,000 orang bagi mengesan virus Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi memuji pakej ransangan ke-2 kerajaan Selangor, mengatakan langkah-langkah sokongan disasarkan dengan baik.

Felo Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Carmelo Ferlito berkata, negeri itu mengatur keutamaannya dan menangani krisis Covid-19 sebagai kecemasan perubatan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata RM2 juta diperuntukkan untuk topeng dan pensanitasi serta RM1.3 juta bagi memeriksa 5,000 orang untuk mengesan virus itu.

Beliau berkata pemeriksaan itu boleh menjadi ujian mudah menguji keberkesanan ujian besar-besaran dan boleh memberi inspirasi kepada negeri lain untuk mencontohinya.

Dalam temubual terdahulu, Ferlito mencadangkan Malaysia mencontohi Korea Selatan dengan melakukan pemeriksaan besar-besaran dan memperkenalkan pengasingan bersasaran, mengatakan Seoul berjaya mendapat keputusan terbaik dalam masa singkat.

Beliau berkata aktiviti ekonomi boleh dimulakan semula secara beransur-ansur dengan mengenal pasti pekerja yang bebas daripada virus itu.

Ferlito berkata pakej rangsangan bernilai RM272 juta itu termasuk peruntukan untuk bantuan kewangan bagi petani dan penternak, tetapi beliau berkata bantuan yang lebih besar untuk mereka adalah memulihkan rantaian bekalan.

“Bagaimanapun, isu ini dapat dikurangkan hanya dengan menamatkan PKP (perintah kawalan pergerakan) secara beransur-ansur, di mana kerajaan Selangor tidak mempunyai kuasa,” katanya.

Ferlito berkata, Selangor harus menggalakkan majikan bertanggungjawab dalam memeriksa pekerja mereka, sebagai contoh, membenarkan perniagaan dibuka semula sekiranya semua pekerja diperiksa.

Bagaimanapun, beliau akui pembukaan semula perniagaan hanya dapat dilakukan sekiranya PKP berakhir secara beransur-ansur.

Ketika mengumumkan pakej ransangan itu, Menteri Besar Amirudin Shari turut mengumumkan negeri itu meningkatkan jumlah bantuan sebanyak RM8.07 juta dengan memotong gaji menteri besar, exco, Adun dan ketua-ketua syarikat milik kerajaan negeri.

Beliau mengumumkan RM1.3 juta bagi bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan, RM1.5 juta untuk penjagaan anak dan RM42.5 juta bagi menambah baik Skim Peduli Sihat yang akan memberi manfaat kepada 85,000 penerima.