Temu janji, rawatan kesihatan tidak terganggu waktu pandemik Covid-19, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain 146 hospital kerajaan, temu janji dan rawatan di Klinik Kesihatan tidak terganggu susulan pandemic Covid-19. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tiada gangguan atau perubahan dalam temu janji dan rawatan untuk kes lain di kemudahan kesihatan kerajaan sewaktu pandemik Covid-19.

Beliau berkata, rawatan di hospital dan Klinik Kesihatan masih dijalankan seperti biasa.

“Kita telah mengenal pasti hospital untuk Covid-19 dan hospital bukan Covid-19. Kita masih ada 146 hospital yang beroperasi seperti biasa.

“Cuma 7 hospital khas untuk Covid-19,” katanya kepada FMT pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun merujukkan rawatan dan pembedahan pesakit ke hospital yang dikhaskan merawat kes selain jangkitan Covid-19 untuk mengelakkan gangguan.

Ujarnya lagi, bagi mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan semasa tempoh pandemik Covid-19, KKM bekerjasama dengan 4 syarikat untuk memperkenalkan sistem temu janji atas talian.

Empat syarikat itu ialah Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan DoctorOnCall.

“Inisiatif ini dibuat untuk mengurangkan kesesakan di klinik, khususnya semasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, sistem temu janji itu hanya boleh melibatkan kes “walk in” sahaja.

Beliau berkata, sistem itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan 4 klinik kesihatan di Putrajaya, iaitu di Presint 9, 11, 14 dan 18, dengan kerjasama DoctorOnCall.

“Perkhidmatan ini akan diperluaskan ke Klinik Kesihatan terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.