3 bawa dadah, pistol mainan dan topeng badut ditahan di Sarawak

Topeng badut yang ditemui dalam kenderaan dinaiki 3 suspek.

KUCHING: Polis menahan 3 lelaki yang memiliki dadah, satu topeng seperti badut Pennywise dan sepucuk pistol mainan, selepas berlaku kejar-mengejar dengan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Awang Din Awang Gani berkata 3 lelaki yang berusia 25 hingga 33 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kecurian.

Sebuah kereta peronda polis mengesan kenderaan suspek di Jalan Central Timur pada 1.10 tengah hari dan cuba memintasnya.

Bagaimanapun, pemandu bertindak memecut keretanya.

“Suspek memecut untuk mengelakkan ditahan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub dan hampir melanggar sebuah kenderaan polis sokongan.

“Polis kemudiannya berjaya menghalang kenderaan suspek di Jalan Depo dengan 3 lelaki itu cuba melarikan diri, seorang daripadanya membuang satu beg di atas jalan.”

Empat paket methamphetamine ditemui dalam beg itu.

Awang Din berkata, 3 suspek itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.