3,026 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

Selain India, rakyat Malaysia juga terkandas di negara seperti Thailand, Australia, New Zealand, Pakistan, Vietnam, Arab Saudi, Filipina, Sri Lanka serta Nepal dan sebahagian besar daripada mereka merupakan pelancong atau pelawat jangka pendek.

PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri hari ini memaklumkan, sehingga 3 April terdapat 3,026 jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 45 buah negara.

Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar berkata, negara India kekal merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, iaitu seramai 1,446 orang.

“Negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia terkandas adalah di Thailand (259 orang), Australia (152), New Zealand (149), Pakistan (144), Vietnam (131), Arab Saudi (121), Filipina (97), Sri Lanka (61) dan Nepal (50),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, daripada 3,06 orang rakyat Malaysia yang terkandas, seramai 2,016 merupakan pelancong atau pelawat untuk tempoh jangka masa pendek, manakala selebihnya individu yang menetap atau bermustautin di negara lain atas sebab pekerjaan atau belajar.

“Tetapi mereka membuat perancangan untuk pulang dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP). Mereka boleh dikategorikan sebagai terkandas yang tidak kritikal,” katanya.

Pada masa sama Kamarudin berkata, 2 penerbangan sewaan khas Malindo Airlines membawa 344 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

“Mereka tiba melalui penerbangan OD 210 dan 212, masing-masing pada jam 4.35 pagi dan 5.10 pagi. Kementerian sedang menyelaraskan usaha membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.

“Sebanyak 7 penerbangan sewaan khas Malindo dijangka tiba pada 3 hingga 5 April ini,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang berada di Indonesia, pada 2 April lalu seramai 310 orang pelajar di Indonesia pulang ke tanah air melalui beberapa penerbangan komersial atas inisiatif dan tanggungan mereka sendiri.

“Kementerian sekali lagi menekankan bahawa sebarang keputusan untuk membawa pulang pelajar tajaan adalah tertakluk kepada situasi semasa di negara yang terjejas serta pertimbangan pihak penaja.

“Wisma Putra dan perwakilan Malaysia di seberang laut kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat yang terkandas di luar negara terpelihara dan sentiasa berusaha dalam kapasiti serta bidang kuasa yang ada untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Kamarudin berkata, seramai 126 orang pelajar Malaysia dari Timur Tengah dijangka tiba pada hari ini, melalui feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor.

“Usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara Timur Tengah turut melibatkan rundingan di peringkat pimpinan negara antara Malaysia dengan negara yang terlibat.

“Pada 3 April, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein sudah menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad Salman bagi membincangkan usaha membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi, selain kebajikan rakyat Arab Saudi di Malaysia,” katanya.