Ahli Parlimen gesa bawa pulang segera rakyat Malaysia di Singapura

Kerajaan digesa membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura susulan tindakan republik itu menutup sekolah dan tempat kerja selama sebulan mulai 7 April bagi mengekang penularan Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir menggesa Putrajaya meneliti keperluan membenarkan rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura pulang ke negara ini, susulan tindakan perdana menteri republik itu menutup sekolah dan tempat kerja selama sebulan mulai 7 April.

Akmal berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu tetap perlu melalui proses saringan ketat dan wajib dikuarantin selama 14 di pusat kuarantin yang ditetapkan Putrajaya sekembalinya ke tanah air.

“Sekiranya terdapat keterbatasan dalam kemudahan kuarantin sedia ada, kerajaan perlu meneliti aset sedia ada seperti dewan raya dan sekolah untuk dijadikan pusat kuarantin baru.

“Komunikasi dan arahan kepada individu yang melalui proses kembali dari Singapura perlu dibuat dengan jelas dan teratur bagi mengekalkan penjarakkan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa kerajaan Singapura akan menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja, kecuali perkhidmatan penting dan sektor ekonomi utama selama sebulan, sebagai langkah lebih ketat untuk menghentikan penyebaran koronavirus.

Akmal Nasir.

Kes jangkitan di Singapura, yang diimport dan domestik, meningkat dengan ketara pada minggu kebelakangan ini dan mencecah 1,000 kes minggu ini.

Republik itu juga merekodkan kematian ke-5 hari ini.

Tambah Akmal, Putrajaya pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu menilai semula Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin, supaya ia lebih inklusif untuk semua peringkat.

“Ini termasuk menjamin kebajikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang menerima gaji harian dan bergaji bawah RM4,000 sebulan,” katanya.