Arab Saudi kuat kuasa perintah berkurung 24 jam di Mekah, Madinah

Perintah berkurung di Mekah dan Madinah terkecuali kepada mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang penting. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Arab Saudi pada Khamis mengenakan perintah berkurung 24 jam di Mekah dan Madinah sehingga diberitahu kelak, sebagai langkah terbaru memerangi penularan wabak Covid-19, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Mengikut sumber rasmi Kementerian Dalam Negeri, hanya orang dewasa dibenarkan keluar rumah untuk tujuan mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan, dari 6 pagi hingga 3 petang.

Maksimum 2 orang dibenarkan berada dalam sebuah kereta pada satu-satu masa, termasuk pemandu.

Larangan itu terkecuali kepada mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang penting.

Hanya farmasi, kedai bekalan makanan, stesen minyak dan perkhidmatan perbankan dibenarkan beroperasi.

“Kementerian Dalam Negeri menyeru rakyat dan penduduk menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan.”

Selain itu, kementerian memberi jaminan langkah berkenaan diambil dalam usaha untuk memelihara kesihatan masyarakat dan mencegah penularan Covid-19, tertakluk kepada penilaian berterusan pihak berkuasa kesihatan berkaitan.

Kementerian juga menyeru orang ramai memahami tanggungjawab masing-masing, mematuhi arahan serta langkah pengasingan demi kepentingan awam.