Bank pusat Singapura jamin khidmat kewangan terus operasi

Bank pusat Singapura berkata, perkhidmatan kewangan merupakan antara perkhidmatan utama yang dikecualikan daripada sebarang penangguhan aktiviti di premis kerja berikutan pelaksanaan langkah penjarakan sosial. (Gambar AFP)

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini memberi jaminan perkhidmatan kewangan akan terus dibuka untuk kemudahan pelanggan republik itu serta pihak berkaitan di peringkat global.

“Semua pasaran kewangan di Singapura tetap dibuka dan perkhidmatan pembayaran juga tidak terjejas,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ekoran pengumuman Singapura hari ini yang memutuskan untuk melaksanakan langkah lebih tegas mulai minggu depan, termasuk penutupan sebahagian besar pejabat susulan peningkatan kes dan kluster baru Covid-19.

MAS berkata, perkhidmatan kewangan itu juga merupakan antara perkhidmatan utama yang dikecualikan daripada sebarang penangguhan aktiviti di premis kerja berikutan pelaksanaan langkah penjarakan sosial.

Dalam pada itu ia berkata, semua institusi kewangan akan terus beroperasi walaupun dalam keadaan jumlah pekerja dikurangkan di premis masing-masing.

“Perkhidmatan perbankan akan terus disediakan menerusi dalam talian, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan cawangan bank.

“Selain itu perkhidmatan insurans, pembrokeran, pengurusan aset dan khidmat nasihat kewangan juga akan terus disediakan,” katanya.

Bagaimana pun bank pusat itu berkata, beberapa cawangan bank dan firma kewangan serta pusat khidmat pelanggan syarikat insurans berkemungkinan besar ditutup sementara dalam usaha mengurangkan aliran pelanggan.

“Pihak bank juga akan menyediakan wang tunai mencukupi dalam ATM dan tiada sebab untuk orang ramai mengeluarkan lebih banyak tunai berbanding keperluan mereka,” katanya.