Beberapa menteri Sarawak kuarantin diri selepas jadi kontak rapat kes Covid-19

Dr Sim Kui Hian, Awang Tengah Ali Hasan, Douglas Uggah Embas dan Fatimah Abdullah menjalani kuarantin atas arahan Jabatan Kesihatan Sarawak.

KUCHING: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr Sim Kui Hian menjalani kuarantin selama 14 hari selepas menghadiri mesyuarat dengan seorang individu yang disahkan positif Covid-19 kemudian.

Katanya, arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Sarawak yang mengenal pasti beliau mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit.

“Selepas beberapa kali terselamat, walaupun mengambil semua langkah berjaga-jaga, seorang daripada individu yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa kecil pengurusan bencana negeri pada 27 Mac lalu disahkan positif Covid-19,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Tetapi, katanya, ujian saringan menunjukkan beliau tidak dijangkiti virus itu.

Ini menyusul laporan Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Dr Jerip Susil disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang juga Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah Embas serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakkKanak negeri, Fatimah Abdullah turut diarahkan menjalani kuarantin kerana menghadiri mesyuarat dengan Susil pada 27 Mac lalu.

Tiada seorang pun yang disahkan positif atau menunjukkan gejala virus itu.