Britain akan bina 2 lagi hospital sementara Covid-19

Petugas membuat persiapan terakhir sebelum pembukaan rasmi NHS Nightingale di timur London pada Jumaat. (Gambar AP)

LONDON: Britain akan membina 2 lagi hospital sementara untuk merawat pesakit Covid-19, kata Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pada Jumaat, ketika hospital lapangan pertamanya di London akan dibuka secara rasmi hari ini.

Britain bersedia menghadapi kemuncak penularan koronavirus yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa di negara itu setakat ini dan lebih 52,000 kematian di seluruh dunia.

NHS berkata, ia akan membina kemudahan yang mampu memuatkan 1,000 pesakit di sebuah universiti di Bristol, barat daya England, dan satu lagi hospital sementara dengan kapasiti 500 katil di sebuah pusat persidangan di Harrogate, utara negara itu.

Itu bermakna ia kini merancang menubuhkan 5 hospital lapangan dalam beberapa minggu lagi.

Hospital sementara yang pertama, NHS Nightingale di timur London, akan dibuka secara rasmi pada Jumaat dan menerima pesakit pertama minggu depan.

Hospital itu yang dinamakan sempena jururawat perintis, Florence Nightingale yang merawat tentera British ketika Perang Krimea, dibina di dalam sebuah pusat persidangan yang luas hanya dalam masa 2 minggu dengan bantuan tentera.

Hospital sementara lain di Manchester dan Birmingham mempunyai kapasiti sehingga 3,000 katil secara keseluruhan.