Covid-19 mimpi ngeri untuk penghidap OCD, 5 cara atasinya!

Ikuti tip untuk kurangkan kesan gangguan mental yang anda alami terutamanya gangguan kegelisahan dan juga OCD.

Di saat wabak Covid-19 melanda dunia, pelbagai reaksi dapat kita lihat daripada lain-lain individu.

Ada yang mengalami ketakutan, panik, malah ada juga yang memberikan respons secara bersahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Namun tahukah anda, ada sekelompok individu yang mungkin memberikan reaksi yang sedikit berbeza iaitu mereka yang mempunyai gangguan kebimbangan atau gangguan kegelisahan.

Begitu juga dengan mereka yang mempunyai gangguan obsesif kompulsif atau ringkasnya OCD.

OCD adalah satu gangguan di mana seseorang itu mempunyai kecenderungan untuk melakukan sesuatu mengikut susunan dan sempurna secara berlebihan.

Gangguan kebimbangan pula sejenis keadaan gangguan mental.

Ia boleh membuatkan seseorang itu menjadi resah dan gelisah secara melampau, bahkan ia boleh berlaku tanpa sebab yang kuat.

Pandangan terhadap wabak Covid-19 berbeza bagi mereka yang sihat dan golongan OCD/ gangguan kebimbangan?

Bagi mereka yang sihat atau tidak mempunyai sebarang gangguan mental, mereka akan berfikir seperti; “Social distancing akan membantu kita untuk menjauhi jangkitan virus serta melindungi ahli keluarga.”

Namun bagi mereka yang mempunyai gangguan kebimbangan, mereka akan berfikir seperti; “Sekiranya saya mendapat jangkitan Covid-19, maka saya dan ahli keluarga akan mati.”

Bagi mereka yang mempunyai OCD pula, mereka akan lebih kerap membasuh tangan secara berlebihan kerana khuatir dijangkiti Covid-19.

Di sini, anda boleh lihat perbezaan bagi perspektif-perspektif berikut.

Ia membolehkan anda untuk memahami bagaimana individu yang mempunyai gangguan kebimbangan dan OCD melihat wabak Covid-19 dengan fikiran yang berbeza.

Cara untuk menangani kesan gangguan kebimbangan dan OCD di saat wabak Covid-19 melanda

Jika anda mengalami gangguan kebimbangan atau OCD, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan keresahan anda di saat wabak ini.

Cara ini juga boleh digunakan bagi mereka yang mudah menjadi panik apabila mengetahui perkembangan semasa berkenaan Covid-19.

1. Elakkan saluran media sensasi

Sekiranya anda merupakan seseorang yang mudah panik atau mempunyai gangguan kebimbangan, adalah lebih baik untuk anda menjauhkan diri daripada saluran-saluran media sensasi.

Media sensasi ini sememangnya gemar melaporkan berita-berita dengan cara yang boleh menarik minat pembaca.

Kadangkala ia tidaklah menggambarkan kandungan sebenar cerita tersebut.

Oleh itu, dapatkan sumber maklumat mengenai Covid-19 daripada media yang tidak mengamalkan gaya laporan sensasi seperti Laman Facebook Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat daripada Free Malaysia Today atau lebih dikenali sebagai FMT.

2. Basuh tangan anda

Kita mungkin tidak dapat menghentikan penyebaran virus dengan sepenuhnya, tetapi kita boleh mengehadkan penyebarannya melalui amalan kebersihan diri yang terbaik.

Memandangkan sentuhan merupakan cara wabak Covid-19 ini tersebar, maka mencuci tangan kaedah yang amat disarankan untuk dilakukan.

Apatah lagi selepas anda pulang ke rumah dari tempat kerja atau pasar raya.

Anda juga perlu mencuci tangan selepas bersin dan batuk, dan juga sebelum menyediakan makanan.

Bagi mereka yang mempunyai OCD, elakkan daripada terlalu memikirkan yang anda mempunyai jangkitan atau menyebarkan jangkitan kepada individu lain.

Kerap basuh tangan sekiranya anda terlibat dengan setiap situasi yang dinyatakan di atas sahaja.

3. Kekal aktif selagi anda mampu

Antara cara bagi mengurangkan gangguan kegelisahan adalah dengan sentiasa kekal aktif.

Kekal aktif di sini bukanlah hanya kesihatan fizikal semata-mata, malah kesihatan mental anda juga.

Sekiranya anda gemarkan aktiviti fizikal seperti mengemas rumah, memasak atau berkebun, terus lakukannya. Jika anda gemarkan ‘sukan’ untuk minda anda, anda boleh bermain catur atau menyusun puzzle.

Daripada anda mencari maklumat berkenaan Covid-19 yang hanya akan membuatkan anda lebih gelisah, lebih baik anda sibukkan diri dengan melakukan perkara-perkara seperti yang dinyatakan di atas.

4. Jangan dapatkan nasihat perubatan yang tidak perlu

Bagi mereka yang mengalami gangguan kegelisahan, terdapat dua kelompok dalam hal untuk mendapatkan nasihat perubatan; mendapatkan nasihat perubatan secara berlebihan atau tidak mendapatkannya langsung.

Tidak ada salahnya jika anda berjumpa dengan doktor apabila mempunyai sebarang simptom.

Namun, disebabkan oleh peningkatan kes saringan yang lebih serius berlaku di seluruh negara, anda perlu memberikan keutamaan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Cuba untuk tenangkan diri terlebih dahulu jika anda mempunyai simptom yang bersifat ringan.

Kerisauan mengenai simptom itu sememangnya penting, tetapi tidak perlulah untuk klinik setiap kali anda batuk dalam tempoh yang amat pendek.

5. Lakukan pengasingan diri

Mungkin masih ada dalam kalangan kita yang tidak menghiraukan PKP, atau mengambil ringan perintah tersebut.

Ramai juga yang masih tidak sedar bahawa kaedah ini mampu mengurangkan peratusan jangkitan Covid-19.

Langkah pengasingan diri ini sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan penyebaran jangkitan, malah ia boleh mengurangkan kebimbangan dan keresahan anda berkenaan jangkitan Covid-19.

Anda boleh melakukan pelbagai perkara di rumah semasa pengasingan diri tanpa perlu menyertai kepanikan yang telah dicetuskan oleh mereka yang berada di luar.

Namun, untuk mengelakkan anda kesunyian di rumah, cuba berkomunikasi dengan rakan atau ahli keluarga melalui panggilan telefon, panggilan video atau chat.

5 langkah ini sedikit sebanyak boleh membantu anda untuk mengurangkan kesan gangguan mental yang anda alami terutamanya gangguan kegelisahan dan juga OCD.

Mungkin anda tidak dapat mengawal tingkah laku anda dalam keadaan sedar, tetapi dengan mengikuti langkah-langkah ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]