Hati-hati apa yang anda beli secara ‘online’, kata NGO pengguna

Produk farmasi palsu yang dibeli secara atas talian boleh memudaratkan kesihatan seseorang.

PETALING JAYA: Kumpulan pengguna menggesa orang ramai berhati-hati dengan barangan palsu yang dijual secara atas talian, termasuk barang keperluan seperti cecair pembasmi kuman dan topeng, kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan pemeriksaan untuk mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada pembeli semasa krisis Covid-19.

“Rakyat juga harus lebih berhati-hati dan membeli barangan hanya dari kedai-kedai yang bereputasi baik,” kata Presidennya Mohideen Abdul Kader kepada FMT.

Mengatakan penggunaan barangan palsu boleh memudaratkan kesihatan seseorang, beliau juga menggesa pihak berkuasa di pusat pemeriksaan meningkatkan pemeriksaan barangan.

Pada 19 Mac, Interpol menerusi laman webnya berkata pihak berkuasa di 90 negara merampas cecair pembasmi kuman yang tidak bermutu, topeng palsu dan ubat antivirus yang tidak dibenarkan di bawah Operasi Pangaea XIII.

Semasa operasi, negara anggota Interpol berjumpa orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pembelian produk farmaseutikal dari sumber yang tidak terkawal melalui atas talian.

Interpol memetik Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Kesihatan, Norlida Abdul Rahman sebagai berkata Malaysia mempromosikan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengurangkan permintaan adalah aspek penting dalam Operasi Pangea.

Pengarah Urusan rantaian pasar raya Mydin Ameer Ali Mydin berkata, apabila membeli secara atas talian, adalah terbaik untuk membeli terus dari peruncit atau melalui kedai runcit.

“Kami bimbang tentang beberapa jualam atas talian kerana kami tidak tahu sama ada mereka akan bertanggungjawab terhadap barangan yang dijual di platform mereka,” katanya.

Ameer berkata membeli terus dari laman web pengeluar atau peruncit adalah paling selamat.

“Ini bukan masanya untuk mengambil risiko. Untuk bersikap adil kepada pihak berkuasa penguatkuasa (dari kementerian perdagangan dan perhubungan pelanggan), tumpuan utama mereka adalah untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan tiada barangan yang disorok atau kenaikan harga.”

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata ia bimbang mengenai pihak yang mempromosikan terapi alternatif yang tidak berdasarkan bukti atau sains.

Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir, Azrul Mohd Khalib, berkata Program Perkhidmatan Farmasi (PSP) Kementerian Kesihatan ditugaskan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada produk farmasi yang tidak berdaftar, palsu dan berbahaya serta produk tradisional.

Katanya, rakyat Malaysia harus memainkan peranan dengan melaporkan kepada PSP apabila mereka berdepan produk sedemikian.

“Kementerian Kesihatan tidak boleh dijangka berada di mana-mana dan melakukan segala-galanya,” katanya.