Industri penerbangan Malaysia mungkin hilang lebih RM14 bilion, kata IATA

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa berkata, kerajaan Malaysia belum menetapkan langkah berkesan bagi membantu industri penerbangan negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan kemerosotan permintaan penumpang sebanyak 39% tahun ini dengan kerugian perolehan mencecah RM14.46 bilion (AS$3.317 bilion) sekiranya sekatan perjalanan lebih ketat berikutan Covid-19 sejak tiga bulan lepas, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Naib presiden serantau Asia-Pasifik, Conrad Clifford berkata, 169,700 pekerjaan pula berpotensi terjejas susulan sekatan perjalanan dan merisikokan RM16.56 bilion dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya akan mengalami penurunan permintaan penumpang sebanyak 37% tahun ini dengan kerugian perolehan berjumlah AS$88 bilion.

“Walaupun setiap negara akan mengalami impak permintaan penumpang yang berbeza, namun prestasi bersihnya adalah sama.

“Syarikat penerbangan mereka bergelut demi kelangsungan, mereka menghadapi krisis mudah tunai dan akan memerlukan bantuan kewangan segera untuk mengekalkan perniagaan dalam situasi tidak menentu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan syarikat penerbangan berkenaan mempunyai aliran tunai mencukupi untuk menampung mereka sepanjang tempoh ini dengan menyediakan sokongan kewangan langsung, memudahkan pinjaman, jaminan pinjaman, selain sokongan kepada pasaran bon korporat.

Clifford berkata, cukai, levi dan caj lapangan terbang serta aeronautikal bagi industri harus dikecualikan sepenuhnya atau sebahagian.

Beliau berkata Australia, New Zealand dan Singapura mengumumkan pakej yang besar sebagai langkah untuk menyokong industri penerbangan mereka, namun negara lain di rantau ini, termasuk India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka dan Thailand belum menetapkan tindakan yang berkesan.

“Pekerjaan serta KDNK yang disokong oleh industri ini juga berdepan risiko.

“Ini penting kerana negara-negara ini masih mempunyai sektor penerbangan yang berdaya maju untuk menyokong pemulihan ekonomi, menghubungkan hab pembuatan dan menyokong pelancongan apabila krisis COVID-19 berakhir,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan masing-masing perlu mengambil tindakan sekarang daripada terlalu lewat untuk berbuat demikian.

Selain Malaysia, IATA juga menjangkakan permintaan penumpang di Kemboja menurun 34% dengan kerugian perolehan AS$677 juta, Vietnam (-34%, kerugian perolehan AS$3.404 bilion) dan Filipina (-36%, kerugian perolehan AS$3.507 bilion).

Sementara itu, Thailand (-40%, kerugian perolehan AS$6.516 bilion), Pakistan (-40%, kerugian perolehan AS$1.438 bilion), Korea Selatan (-40%, kerugian perolehan AS$8.432 bilion) dan Sri Lanka (-44%, kerugian perolehan AS$562 juta) dijangka mengalami impak paling buruk.