Kepulangan pelajar China dari luar negara disambut dingin

Hampir separuh daripada 800 kes import Covid-19 di China membabitkan pelajar luar negara. (Gambar Rawpixel)

BEIJING: Pelajar China yang pulang dari luar negara bagi mengelakkan wabak pandemik koronavirus menerima sambutan dingin sekumpulan orang awam yang melihat mereka sebagai kaya, terlalu dimanjakan dan berpotensi dijangkiti.

Jumlah kes yang dilaporkan secara rasmi di China turun mendadak sejak bulan lalu, tetapi republik itu kini mengambil langkah drastik bagi menangkis gelombang kedua jangkitan yang dibawa dari luar negara.

Dengan kebanyakan penerbangan antarabangsa dibatalkan dan hampir semua warga asing disekat daripada memasuki negara itu, majoriti mereka yang pulang adalah warga China, termasuk ramai pelajar.

Situasi itu mendedahkan permusuhan antara kelas dan keistimewaan dalam masyarakat Cina, didorong oleh hantaran stereotaip dalam talian yang mengatakan pelajar yang pulang dari luar negara sebagai tidak bersyukur dan bahkan berbahaya – menggunakan tingkah laku tidak bertanggungjawab beberapa individu sebagai bukti.

“Ketika ini, pendapat umum di China tidak memihak kepada pelajar di luar negara, dan kemudahan kuarantin di sana bercampur-campur,” kata Hestia Zhang, pelajar sarjana di Yale University.

Beliau memilih untuk tinggal bersendirian di kampus daripada pulang ke tanah air, walaupun Amerika Syarikat kini menyumbang hampir 1/4 daripada jangkitan global yang dilaporkan.

“Terdapat banyak risiko dalam perjalanan pulang ke tanah air, jadi lebih baik saya tinggal di sini dan tunggu ia berakhir,” katanya kepada AFP.

Sementara itu Cathy, yang mendarat di China pada pagi Selasa, menjangkakan beliau mungkin berdepan prejudis. Menggunakan nama Inggeris untuk menyembunyikan identitinya, beliau berkata, beliau “tiada pilihan, tetapi harus menanggungnya”.

Hampir separuh daripada 800 kes import di China membabitkan pelajar dari luar negara.

Kebanyakan mereka yang pulang dari luar negara mengasingkan diri selama 2 minggu, dan video yang tular membabitkan seorang pelajar yang pulang dari luar negara cuba melarikan diri dari penginapan kuarantinnya di bandar Qingdao menimbulkan kemarahan pengguna media sosial.

“Pembenci China”

Satu lagi klip video memaparkan pelajar yang pulang dari luar negara yang meminta air mineral daripada pekerja kemudahan kuarantin di Shanghai dengan marah turut menimbulkan kemarahan ramai.

“Mereka makan makanan dari mangkuk kita, tetapi pulang ke tanah air sebaik sahaja mereka berhenti makan. Kita tidak perlu ambil mereka semula,” tulis seorang pengguna, yang mengumpulkan ribuan “like”.

Terdapat kepercayaan yang meluas bahawa pelajar antarabangsa melihat diri mereka lebih tinggi berbanding warga China yang lain, kata Yik-Chan Chin, profesor media dan komunikasi di Universiti Xi’an Jiaotong-Liverpool.

Situasi ini sering disalah anggap disebabkan persepsi terhadap kekayaan pelajar dan memiliki pelbagai kerakyatan, katanya.

Majoriti 1.6 juta pelajar China masih berada di luar negara, menurut Kementerian Pendidikan.

Ramai yang mahu pulang, tetapi berdepan harga tiket yang mahal dan penerbangan transit yang memenatkan, termasuk peningkatan risiko jangkitan dalam perjalanan.

Beijing menyewa penerbangan pada Isnin untuk menyelamatkan baki 200 pelajar luar negara yang terkandas di Ethiopia selepas penerbangan transit mereka ke China dibatalkan pada saat akhir, dan satu lagi berlepas pada Khamis untuk membawa pelajar pulang dari UK.