Milan tutup krematorium untuk selesai lambakan mayat pesakit Covid-19

Jumlah kematian di Lombardy mencecah 7,960 orang daripada keseluruhan angka korban rasmi Itali sebanyak 13,915 kes. (Gambar AP)

MILAN: Bandar Milan pada Khamis mengumumkan penutupan krematorium utamanya sepanjang bulan ini susulan lambakan mayat akibat penularan Covid-19.

Pusat penularan virus itu di Itali mengakui ia menghadapi “peningkatan secara berterusan mayat yang menunggu untuk dibakar”.

Majlis bandaraya itu dalam satu kenyataan di laman webnya berkata, mayat pesakit perlu menunggu sehingga 20 hari untuk dibakar di Crematorio di daerah Lambrate.

Katanya, ia akan menimbulkan “masalah kebersihan” jika mayat dibiarkan lebih lama daripada tempoh itu.

Milan, ibu negara dan pusat kewangan utama Itali itu yang mempunyai populasi tidak lebih 1.4 juta penduduk melaksanakan sekatan keluar masuk sejak Februari lalu.

Wilayah Lombardy di utara Itali mencatatkan kematian pertama Covid-19 di rantau Eropah pada 21 Feb lalu.

Kini, wilayah itu mencatatkan 7,960 kematian daripada keseluruhan angka korban rasmi di Itali sebanyak 13,915 kes.

“Untuk membantu keluarga dalam saat-saat sukar ini, mayat orang tersayang boleh dikebumikan tanpa sebarang bayaran mulai Jumaat ini,” kata majlis bandaraya itu.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah mayat yang menunggu untuk dibakar.

Tetapi, ia mendapati jumlah kematian pada bulan lalu meningkat hampir sekali ganda kepada 2,155 orang berbanding 1,224 orang yang meninggal dunia pada Mac 2019.

“Malah di Milan, kami nampak peningkatan jumlah kematian,” kata penasihat perkhidmatan awam Milan, Roberto Cocco.

“Kakitangan pengebumian dan tanah perkuburan kami bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan penuh bertanggungjawab.”

Bandar Bergamo yang terletak di timur laut Milan, menerima penghantaran keranda baru secara tetap sepanjang bulan lalu susulan peningkatan jumlah kematian.

Ia terpaksa menghantar berpuluh-puluh mayat ke bandar berdekatan untuk dibakar setiap minggu.

“Jumlah besar mangsa korban itu bermakna krematorium di Bergamo tidak mampu menanganinya,” kata Datuk Bandar Giorgio Gori dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP pada Khamis lalu.

Angka korban rasmi Covid-19 di seluruh Itali meningkat lebih sekali ganda seminggu lalu.