Minyak: Kuwait sokong adakan sidang tergempar Opec

Pada Khamis, Arab Saudi menggesa sidang tergempar yang bukan saja dihadiri anggota Opec+, tetapi negara pengeluar minyak lain. (Gambar Bloomberg)

DOHA: Kuwait menyokong inisiatif Arab Saudi untuk memanggil sidang tergempar negara pengeluar minyak bagi menstabil harga bahan mentah itu yang merudum, lapor agensi berita Sputnik.

Menteri minyak Khaled Ali Al-Fadhel seperti yang dipetik agensi berita Kuna pada Jumaat berkata, mereka turut mengalu-alukan penyertaan negara bukan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) untuk menyertai sidang berkenaan.

Pada Khamis, Arab Saudi menggesa sidang tergempar yang bukan saja dihadiri anggota Opec+, tetapi pengeluar minyak lain yang tidak menyertai format itu.

“Kuwait menyokong gesaan negara sahabat, Arab Saudi untuk mengaturkan persidangan tergempar pengeluar minyak bagi menstabilkan harga pasaran, serta menyambut baik idea untuk lebih banyak negara bukan anggota Opec menyertai sidang itu bagi mencari kata sepakat mengurangkan bekalan,” kata menteri itu.