Nor ‘Phoenix’ Diana atau dikenali ahli gusti berhijab dari Malaysia, tersenarai Forbes 30 Under 30 Asia

Nor Diana yang terkenal dengan aksi lagak ngeri, kini tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia.

Ahli gusti berhijab dari Malaysia, Nor “Phoenix” Diana tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020.

Beliau antara 12 belia Malaysia yang disenaraikan dalam edisi muka depan Forbes bagi kategori Sukan dan Hiburan.

Pernah ditemuramah bersama FMT Ohsem Julai tahun lepas, dia diberi gelaran “Phoenix”kerana aksinya ibarat burung cenderawasih, kecil tapi lincah, jatuh bangun semula, tidak kenal erti lelah demi matlamatnya.

Gadis berusia 19 tahun ini kelihatan seperti seorang yang pasif, namun mempamerkan perwatakan berbeza di atas gelanggang yang penuh lagak ngeri.

Nor diana berjaya mencuri tumpuan dunia apabila muncul sebagai wanita pertama memenangi kejohanan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) tahun lalu.

Selain itu, imej berhijab serta sukan “ganas” yang beliau ceburi juga telah menjadi faktor kepada kejayaan beliau.

“Tapi bila dah naik pentas, saya dapat rasai keyakinan daripada penonton yang teruja untuk melihat wanita berhijab beraksi,” katanya.

Kerana minat mendalam pada sukan gusti, Nor Diana mula menceburi bidang tersebut seawal umur 14 tahun.

Meskipun bidang gusti yang disertainya berbentuk persembahan, setiap aksi dan lagak ngeri yang dipamerkan memerlukan latihan berterusan dan keadaan fizikal yang mantap.

Diana, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik swasta, memberikan komitmen untuk melatih dirinya 2 kali seminggu pada setiap Rabu dan Sabtu.

Bermatlamat menjadi ahli gusti sepenuh masa, Nor Diana harap ia menjadi contoh terbaik buat wanita lain untuk turut menjadikan gusti sebagai seni mempertahankan diri.

“Gusti persembahan sudah ditentukan siapa menang, siapa kalah, tapi setiap aksi itu semuanya betul. Tetap sakit bila kena lambung,” katanya.

Forbes 30 Under 30 Asia ialah senarai untuk anak muda di seluruh Asia di bawah usia 30 tahun yang mencabar tradisi konvensional dan menetapkan semula peraturan untuk generasi akan datang.

Ia menampilkan usahawan, pencetus perubahan dan pemimpin muda.

Selain Diana, Anja Chong, 26 atlet “speed skating” Malaysia turut tersenarai di dalam kategori Sukan dan Hiburan.

Antara kejayaannya meraih 4 pingat emas pada acara temasya Sukan SEA 2017 dan 2019

Kategori lain yang disenaraikan adalah:

  • Seni (Seni & Gaya, Makanan & Minuman)
  • Hiburan & Sukan
  • Modal Kewangan & Ventura
  • Media, Pemasaran & Pengiklanan
  • Runcit & E-Perdagangan
  • Teknologi Enterprise
  • Industri, Pembuatan & Tenaga
  • Kesihatan & Sains
  • Usahawan Sosial
  • Teknologi Pelanggan

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]