Orang Asli lari ke hutan elak dijangkiti Covid-19

Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia 3 tahun diuji positif Covid-19, minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Selepas menyekat pintu masuk ke kampung mereka dengan kayu balak, separuh suku Jemeri melarikan diri ke hutan sekitar kerana bimbang dengan penularan Covid-19 di Malaysia yang menjangkiti seorang komuniti itu.

“Kami kembali ke hutan untuk mengasingkan diri dan mencari makanan untuk diri kami sendiri,” penduduk kampung dan aktivis Bedul Chemai dari suku Jemeri, di Pahang memberitahu Reuters melalui telefon.

“Kami tahu bagaimana untuk mendapatkan makanan dari hutan dan ada beberapa perkara di mana kami boleh bercucuk menanam di sana.”

Orang Asli pertama dikesan dijangkiti Covid-19 minggu lepas.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dari sebuah kampung di luar Cameron Highlands diuji positif virus itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Asli Juli Edo kepada Reuters.

Kampung tersebut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat, bersama-sama dengan yang lain yang disyaki dijangkiti. Tidak jelas bagaimana kanak-kanak itu dijangkiti, kata Juli.

Memandangkan Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan yang ketat bulan ini untuk menghalang penyebaran virus yang menjangkiti lebih 3,000 penduduk tempatan dan membunuh 50 orang, Orang Asli berkata mereka sangat teruk.

Ramai yang bergelut untuk mencari makanan selepas pendapatan tidak seberapa mereka dari jualan sayur-sayuran, buah-buahan dan getah dipotong, sementara ada yang takut untuk ke bandar membeli makanan kerana kebimbangan dijangkiti virus itu.

Bimbang jangkitan

Orang Asli terdedah kepada penyakit itu kerana faktor kemiskinan dan kekurangan zat makanan. Kadar kemiskinan mereka dilaporkan melebihi 30% berbanding purata Malaysia sebanyak 0.4%.

Tahun lalu, satu kampung Orang Asli di timur Semenanjung Malaysia menyaksikan 15 kematian dan berpuluh-puluh jatuh sakit akibat wabak campak.

Shaq Koyok, aktivis dari suku Temuan berkata penduduk dari kampungnya, kira-kira 60km dari Kuala Lumpur, membuat sekatan.

“Malah saya tidak boleh pergi ke kampung itu,” kata Shaq, yang tinggal di Kuala Lumpur.

Penduduk asli di seluruh dunia, di Australia, Kanada dan Brazil menutup sempadan mereka untuk melindungi komuniti mereka disebabkan coronavirus, yang menjangkiti lebih 1 juta orang dan membunuh kira-kira 52,000 di seluruh dunia.

Lebih sedekad, Orang Asli berkata mereka melihat pencerobohan tanah adat mereka oleh syarikat kelapa sawit dan pembalakan.

“Di sesetengah kampung ini, mereka tidak boleh pergi ke hutan untuk mencari makanan,” kata Ili Nadiah Dzulfakar dari Klima Action Malaysia, kumpulan yang mengumpulkan dana untuk komuniti Orang Asli.

“Seorang warga tua kampung itu memberitahu saya mereka akan mati oleh virus itu atau mati akibat kelaparan,” kata Ili Nadiah.