Pengajaran penting perlu diambil iktibar sepanjang Covid-19

Jururawat memeriksa suhu penumpang di beberapa stesen bas elak sebar Covid-19. (Gambar AP)

Di tengah-tengah kekalutan penularan wabak Covid-19, menuding jari siapa yang sepatutnya dipersalahkan bukanlah perkara terbaik yang perlu dilakukan.

Ia sebenarnya menambahkan lagi masalah sedia ada yang dihadapi seluruh dunia.

Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah dengan bermuhasabah diri dan berfikir sejenak apa sebenarnya pengajaran yang boleh diambil daripada pandemik Covid-19 ini.

Ramai yang melihat Covid-19 ini sebagai satu malapetaka, namun jika kita melihat dengan mata hati, ia sebenarnya suatu yang dapat mengubah dunia yang pada ketika ini sedang tenat daripada pelbagai aspek seperti yang dilaporkan Iluminasi.

1. Kesaksamaan

Wabak Covid-19 disebabkan oleh SARS-CoV-2 mengingatkan kita semua sama tanpa mengira budaya, agama, profesion, kekayaan atau reputasi.

Ini kerana tak kiralah betapa banyak harta atau tingginya pangkat anda, anda juga akan terdedah kepada penyakit berjangkit sama seperti mereka yang papa kedana.

Jadi, ini mungkin satu peringatan bagi kita untuk melayan semua orang dengan sama rata.

2. Kesan individu kepada masyarakat

Sedar atau tidak, virus yang menyerang kita ketika ini membuktikan bahawa kita semua mempunyai kaitan yang sangat mendalam.

Jika seorang daripada kita dijangkiti virus ini, ia akan merebak kepada seorang demi seorang sehinggalah kesemua daripada kita dijangkiti Covid-19.

Kesan terhadap seorang individu walaupun sekecil mana pun akhirnya dapat memberikan kesan ke tahap global.

Ia juga mengingatkan walaupun kita sedang mengalami kesulitan, lebih ramai lagi orang yang akan berhadapan dengan masalah sepanjang hayat.

Skuad pembasmian kuman sedang giat dijalankan di pasar Air Itam baru-baru ini.

3. Kesihatan tidak ternilai

Ini mungkin merupakan pengajaran yang tidak ternilai dan dipelajari oleh semua orang ketika ini.

Wabak pandemik Covid-19 mengingatkan kita kesihatan yang dikurniakan kepada kita dengan percuma ini sangat tidak ternilai harganya.

Antara golongan yang lebih cenderung untuk meninggal dunia mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan pelbagai lagi penyakit kronik.

Mungkin sebelum ini kita tidak begitu mengendahkan penyakit-penyakit ini kerana walaupun ia berbahaya, tetapi masih boleh dikawal.

Namun jika mereka ini dijangkiti Covid-19, kemungkinan untuk berdepan kematian sangat tinggi.

Pengajarannya tidak kira sama ada wabak melanda kita atau tidak, kesihatan kita perlu menjadi perkara utama kerana tanpanya, kehidupan kita tiada lagi maknanya.

Jika kita terus mengabaikan kesihatan, penyakit ini akhirnya boleh memerangkap kita semua.

4. Hidup ini sangat singkat

Jangkitan Covid-19 sangat berbahaya, itu yang semua orang tahu.

Ia juga mengingatkan kita bahawa hidup ini terlalu singkat.

Jika hari ini kita bernafas dengan baik, namun jika dijangkiti Covid-19 ini, kita mungkin akan menghembuskan nafas selepas satu atau 2 minggu.

Sehubungan itu, saling membantu sangat bermakna malah membantu warga emas serta para pesakit ialah perkara yang kita seharusnya lakukan.

Dan ketika wabak ini melanda, kita dapat melihat negara-negara satu dunia saling membantu untuk membendung wabak ini.

Golongan suri rumah memilih barangan keperluan dapur untuk simpanan sepanjang tempoh PKP. (Gambar Bernama)

5. Kehidupan materialisitik

Wabak Covid-19 juga menyedarkan kita betapa materialistiknya masyarakat kita pada hari ini.

Apabila masalah sebegini melanda kita semua, kita hanya memberikan perhatian kepada keperluan asas sahaja seperti air, makanan, ubat-ubatan, topeng, sanitizer, malah tisu.

Ini secara tak langsung menunjukkan bahawa segala barangan mewah dan duniawi yang sebahagian besar daripada kita kejarkan selama ini tidak lagi penting bagi kita.

Apa yang penting bagi semua manusia tanpa mengira status hanyalah barang keperluan asas untuk meneruskan hidup.

6. Hubungan kekeluargaan

Jika kita tidak dibelenggu dengan wabak Covid-19 ini, mungkin kita tidak ingat tentang kepentingan bersama ahli keluarga.

Sebahagian besar daripada masyarakat dunia ketika ini berlumba-lumba mencari kekayaan sehinggakan terlupa perkara yang sangat penting iaitu keluarga.

Wabak ini juga mengingatkan kita betapa banyaknya masa yang kita bazirkan selama ini.

Ia membuatkan kita untuk pulang dan kekal di rumah untuk seketika, sekaligus menguatkan hubungan kekeluargaan yang selama ini entah ke mana.

7. Kerja bukanlah segala-galanya

Bagi sesetengah daripada kita, kerja segala-galanya bagi mereka.

Ada yang bekerja 7 hari seminggu dan mendedikasikan hidup semata-mata kepada syarikat.

Wabak ini secara tak langsung mengingatkan kita bahawa pekerjaan bukanlah segala-galanya.

Kita sebenarnya kerja untuk hidup, dan bukannya hidup untuk bekerja.

Apa yang perlu dititikberatkan adalah kita perlu membantu, melindungi dan menyokong antara satu sama lain.

8. Kuasa kehendak berada di tangan kita

Apabila sesuatu masalah global berlaku, kita mempunyai pilihan secara individu.

Kita boleh memilih sama ada untuk bekerjasama, menyokong, berkongsi, memberi dan membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, kita juga boleh memilih untuk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.

Dan saat-saat genting inilah yang akan memperlihatkan siapa kita sebenarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]