Pengumuman optimis tak cermin realiti, kerajaan perlu turun padang, gesa Fomca

Rakyat tidak dibenarkan keluar bergerak dalam radius lebih 10km dari rumah untuk membeli makanan, barang keperluan atau ubat sehingga PKP fasa ke-2 berakhir 14 April ini.

PETALING JAYA: Badan induk hak pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa ahli politik dan penggubal dasar turun ke padang untuk memahami penderitaan rakyat serta menangani keadaan ketika penularan Covid-19.

Presidennya, Marimuthu Nadason berkata, sesetengah pengumuman kerajaan tidak mencerminkan realiti di peringkat akar umbi.

Beliau memberi contoh “pengumuman optimis berterusan” terdapat topeng yang lebih daripada mencukupi di pasaran.

“Realitinya ialah walaupun sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), selama lebih 2 bulan, hakikatnya topeng tidak boleh didapati di farmasi atau kedai lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selepas pengumuman Putrajaya mengurangkan harga siling, topeng masih tidak boleh didapati di pasaran.

Beliau turut menyentuh jaminan kerajaan mengenai bekalan makanan mencukupi, tetapi rakyat “akan memberitahu cerita berbeza”.

Katanya, kebanyakan pasar raya dan pasar mini kehabisan bekalan roti serta telur dan rakyat berisiko berdepan masalah dengan polis jika mereka membeli makanan di kawasan lebih 10km dari rumah mereka.

“Tetapi, semua yang kita dapat ialah jaminan terdapat makanan mencukupi.

“Rak penuh makanan di pasar raya yang dikunjungi orang sangat kaya ditunjukkan di media.”

Katanya, lebih teruk apabila sesetengah peruncit dilaporkan mengambil kesempatan daripada keadaan itu dengan menaikkan harga barang.

Beliau menggesa penguatkuasaan lebih agresif dengan langkah pertama yang patut diumumkan bersama PKP ialah hotline bagi pengguna membuat aduan.

Katanya, persatuan pengguna sendiri tidak dapat bertindak disebabkan PKP dan penderitaan pengguna diabaikan.

“Tiada bekalan makanan dan harga terlalu harga ialah kebimbangan utama rakyat. Pengumuman positif dan optimis yang tidak mencerminkan realiti dihadapi rakyat tidak berguna.”

Katanya, dengan turun ke padang, penggubal dasar dapat memahami realiti lebih baik dan mengambil langkah sesuai untuk menunjukkan kerajaan mendengar masalah rakyat.