Peniaga Terengganu akur tiada bazar Ramadan, cadang jualan pandu lalu

Ramai peniaga mengeluh bazar Ramadan tidak diadakan tahun ini namun tiada pilihan kerana Covid-19 mengancam nyawa.

PETALING JAYA: Peniaga di Terengganu akur dengan keputusan kerajaan negeri yang tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan tahun ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff berkata, walaupun ramai peniaga mengeluh dengan arahan terbabit namun mereka tiada pilihan kerana wabak itu mengancam nyawa.

“Kita akur dengan keputusan kerajaan tidak mengadakan bazar Ramadan tahun ini dan terpaksa berniaga secara dalam talian, kerana langkah itu yang terbaik demi nyawa rakyat.

“Memang ada peniaga yang merungut dan marah kerana sudah membuat persiapan untuk berniaga ketika Ramadan, ada yang telah belanja RM5,000 hingga RM20,000 membeli bekalan barang namun terpaksa akur,” katanya kepada FMT.

Beliau memaklumkan persatuan hanya mampu menasihatkan peniaga supaya menerima keputusan kerajaan kerana tiada siapa yang menjangka krisis Covid-19.

Zakaria, yang juga naib yang dipertua persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu Terengganu berkata, pihaknya berpegang kepada jaminan kerajaan bahawa nasib peniaga akan dibela.

“Kerajaan janji nak bantu peniaga, menerusi peniagaan dalam talian, jadi kita tengok macam mana,” katanya.

Zakaria (duduk pertama dari kiri) bersama ahli persatuan peniaga ketika mengadakan pertemuan dengan exco PBT, Alias Razak (duduk tengah).

Beliau juga akui peniagaan dalam talian yang dicadangkan kerajaan memberi masalah kepada peniaga yang tidak cekap IT, namun pilihan yang ada adalah meminta bantuan ahli keluarga.

“Memang masalah kemahiran IT antara halangan kepada peniaga, tapi persatuan sudah maklumkan kepada peniaga supaya ambil kesempatan minta bantuan anak-anak buat promosi jualan dalam talian.

“Kerajaan memang tidak sempat anjurkan sebarang kursus, memandangkan hanya berapa minggu saja lagi menjelang puasa,” katanya.

Zakaria turut memaklumkan, terdapat cadangan daripada ahli persatuan supaya peniaga dibenarkan berniaga secara pandu lalu tanpa membenarkan pembeli turun dari kenderaan.

“Penjual akan bungkus siap-siap makanan, bermakna pembeli boleh beli makanan yang siap dibungkus. Perkara itu kita masih bincang dan akan dibawa kepada kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, sehingga kini, tiada tekanan daripada mana-mana pihak malah kerajaan negeri juga mengamalkan sikap terbuka untuk berunding.

“Kita nak situasi menang-menang,” katanya.

Terengganu antara negeri terawal mengumumkan tiada bazar Ramadan di negeri itu kerana0 wabak Covid-19, menyarankan peniaga berniaga dalam talian menerusi aplikasi baru.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi bazar Ramadan yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri tidak akan menyusahkan peniaga dan pembeli.

Katanya, penerangan khusus akan diberikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) membabitkan semua 32 DUN.

“Semua peniaga setiap bazar boleh berdaftar dengan aplikasi ini dan kita akan sediakan satu penyelesaian lengkap kepada mereka, bermula dari membeli hingga penghantaran ke rumah.

“Aplikasi ini juga menawarkan pembayaran e-wallet,” katanya.