Peru hadkan rakyat keluar rumah ikut jantina ketika perintah berkurung

Anggota tentera memeriksa dokumen seorang lelaki susulan pelaksanaan perintah berkurung di Peru yang bermula Khamis. (Gambar AP)

LIMA: Presiden Peru, Martin Vizcarra mengumumkan langkah baru untuk mengehadkan pergerakan orang ramai mengikut jantina dalam usaha membendung penyebaran Covid-19.

Lelaki hanya dibenar meninggalkan rumah pada Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala wanita boleh keluar pada Selasa, Khamis serta Sabtu.

Tiada orang dibenarkan keluar pada Ahad.

“Kami masih ada 10 hari, mari berusaha lebih untuk mengawal penyakit ini.”

Vizcarra berkata, sekatan itu akan dilaksanakan sehingga 12 April ini, tarikh asal perintah berkurung itu berakhir yang mula dikuatkuasakan 16 Mac lalu.

Panama mengumumkan langkah sama selama 15 hari yang mula berkuat kuasa Rabu lalu.

Lebih 1,400 kes positif dan 55 kematian dilaporkan di Peru menjelang Khamis.

Vizcarra berkata, langkah baru itu bertujuan mengurangkan separuh daripada jumlah orang di tempat awam pada masa sama.

“Langkah kawalan (sedia ada) memberikan hasil baik, tetapi bukan apa yang diharapkan.”

Sekatan itu tidak terpakai kepada pekerja perkhidmatan asas, seperti kedai runcit, bank, farmasi dan hospital.

Katanya, pasukan keselamatan yang ditugaskan meronda jalan raya diminta menghormati golongan homoseksual dan transgender.

“Pasukan tentera dan polis diarahkan tidak berprasangka terhadap mereka,” kata presiden itu.