Polis guna budi bicara benar perjalanan individu lebih 10km, kata Ismail Sabri

Polis dan tentera ditugaskan untuk membuat sekatan jalan raya sepanjang PKP.

PUTRAJAYA: Polis diberi kebebasan untuk menggunakan budi bicara mereka membenarkan mana-mana pihak bergerak melebih had 10km dari rumah mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan berdasarkan kes tertentu mengikut keperluan semasa.

“Memang kita tahu undang-undang tidak boleh terlalu spesifik merangkumi setiap individu. Secara umum pergerakan adalah dalam radius 10km.

“Bagaimanapun pihak polis diberikan kuasa dan budi bicara mengikut kes untuk mempertimbangkan pelepasan perjalanan, contoh kita benarkan mereka membeli barang makanan tidak melebihi 10km, jadi kalau dalam kawasan 10km itu tiada makanan, mereka dibenarkan keluar membeli barang lebih dari kawasan dihadkan 10km yang berhampiran,” katanya.

Ismail berkata, peraturan sama juga diberikan bagi perjalanan antara negeri sebagai contoh kawasan Bangsar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor di mana kedudukan kurang 10km.

“Pihak polis juga diberi kuasa mempertimbangkan pelepasan perjalanan antara daerah atau negeri mengikut budi bicara, antaranya jika sempadan negeri itu berada kurang dalam kawasan 10km untuk memberi barang mereka boleh pertimbangkan,” katanya.

Ismail bagaimanapun, menegaskan pengecualian penuh akan diberikan jika ia soal pergerakan membabitkan kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Orang ramai hanya dibenarkan bergerak dalam radius tidak lebih 10km dari rumah untuk membeli makanan, barang keperluan atau ubat susulan pelaksanaan PKP yang memasuki fasa ke-2 mulai semalam sehingga 14 April ini.

Menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), rakyat tidak boleh disertai orang lain untuk berbuat demikian, kecuali dengan alasan munasabah.

Peraturan itu menimbulkan pandangan berbeza antara peguam.