Polis pukul pesalah PKP muat naik klip video ke laman sosial mahu ‘didik masyarakat’

Tangkap layar menunjukkan lelaki berpakaian vest polis memukul seorang daripada 5 individu yang dikatakan merayau-rayau ketika pelaksanaan PKP di Kunak.

KOTA KINABALU: Ketua Polis Sabah Zaini Jass berkata, klip video tular yang menunjukkan seorang anggota polis memukul 5 pemuda dengan kayu yang kononnya melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dimuat naik ke media sosial oleh pegawai itu sendiri.

Zaini mengakui bahawa tindakan pegawai itu tidak wajar, tetapi berkata, beliau hanya ingin menunjukkan bahawa pihak berkuasa serius melaksanakan penguatkuasaan PKP.

“Tidak ada niat untuk mendera atau apa-apa seperti itu. Beliau meminta rakan sekerjanya merekodkannya memukul mereka dan kemudian memuat naik video itu ke Facebooknya,” kata Zaini kepada pemberita di sini, hari ini.

Timbalan Zaini, Mazli Mazlan berkata, semalam polis menyiasat klip 27 saat itu dipercayai dirakamkan di daerah Kunak di pantai timur Sabah.

Dari perspektif penguatkuasaa, Zaini berkata, tindakan pegawai itu tidak wajar.

Namun katanya, dari sudut moral, ia bertujuan mendidik orang ramai, terutama golongan muda, supaya mematuhi PKP.

“Siasatan dalaman telah bermula, dan kami akan ambil tindakan terhadap pegawai itu kerana menunjukkan tindakan tidak wajar dalam melaksanakan PKP,” tambahnya.

“Walaupun beliau mempunyai niat yang baik, kaedahnya tidak betul. Dia perlu mengikut SOP dan tidak melanggar peraturan polis.”

Beliau juga berkata, 5 pemuda itu bernasib baik kerana mereka tidak ditahan, tetapi hanya diberi “pelajaran moral”.